>TERJEMAHAN: Paracelcus dan Sekuntum Bunga Ros

Posted on Februari 22, 2007

0


>Adaptasi dan terjemahan drpd:
Paracelsus dan Sekuntum Bunga Ros

oleh Jorge Luis Borges

Di makmalnya setiap malam, Paracelsus melutut, berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan seorang murid.

Malam menjelang. Api di diang meliuk-lintuk, hampir terpadam. Namun Paracelsus terlalu penat untuk bangun dan menyalakan pelita. Doanya dilupakan malam ini. Kelam malam menenggelamkan retot labu kaca dan relaunya yang kini telah berdebu. Tiba-tiba beliau terdengar ketukan di pintu. Dengan matanya yang masih sepruh pejam, Paracelsus bangun, dan memanjat tangga ke atas – makmalnya terletak di bawah tanah – lalu membuka pintu rumahnya..Seorang pemuda yang tidak dikenali melangkah masuk. Pemuda itu juga kelihatan kepenatan. Paracelsus menuding ke arah pangkin berhampiran; dan lelaki itu melabuhkan punggungnya dan menunggu. Buat sementara waktu masing-masing tidak bersuara.

Paracelsus adalah yang pertama membuka mulutnya.

“Saya kenal muka dari timur dan barat,” katanya, dengan penuh sopan, “tetapi muka kamu saya tidak kenali. Siapa kamu, dan apa yang kamu hajati dari saya?”

“Nama saya tidak penting,” jawab pemuda tersebut. “Saya telah mengembara selama tiga hari tiga malam untuk ke rumah Tuan. Saya mahu menjadi murid Tuan. Segala harta milik saya, saya bawa sebagai persembahan.”

Dengan tangan kanannya pemuda itu mengeluarkan sebuah kantung dan menaburkan isinya ke atas meja. Satu demi satu wang emas jatuh dan menimbuni meja itu.Paracelsus berpaling untuk menyalakan pelita; kemudian beliau berpaling kembali ke arah pemuda itu. Di tangan kiri pemuda itu, beliau lihat sekuntum bunga ros. Beliau merasa gusar melihat ros tersebut.

Beliau bersandar pada dinding dan merenung mata pemuda itu, lalu berkata:

“Dunia mengenali aku kerana aku telah menghasilkan batu yang dapat mengubah unsur-unsur di muka bumi ini menjadi emas, tapi kamu bawa emas kepadaku. Bukan emas yang aku cari, dan jika emas yang meruntun ghairah kamu, tempat kamu bukanlah disisiku.”

“Saya tidak berminat dengan emas,” jawab pemuda itu. “Emas yang saya bawa ini adalah simbol kepada hajat saya untuk belajar dengan Tuan. Saya mahu mempelajari ilmu yang tuan miliki. Saya mahu berjalan di sisi Tuan – meniti jalan yang membawa kita ke arah Batu itu.

“Jalan itu dan batu itu adalah sama. Batu itu juga tempat bermulanya jalan itu. Jika kata-kata Aku ini tidak jelas pada kamu, kamu sebenarnya masih belum bermula untuk memahami. Setiap langkah yang diambil adalah penghujung jalan yang ditujui.” Setiap perkataan di sebut perlahan-lahan oleh Paracelsus.

Pemuda itu memandangnya dengan penuh keraguan.

“Tapi,’ katanya, suaranya sudah berubah, “apakah jalan itu tidak wujud?”

Paracelsus tertawa mendengarnya.

“Musuh-musuh aku, yang ramai dan bodoh-bodoh belaka, akan mengiyakan kata-kata kamu, dan menuduh aku ini penipu. Aku percaya merekalah yang silap, walaupun ada kemungkinan akulah yang keliru. Aku yakin jalan itu wujud.”

Mereka terdiam sebentar. Pemuda itu membuka mulutnya.

“Saya sudah bersedia utnuk meniti jalan itu bersama Tuan, walaupun bertahun perlu dikorbankan.Izinkanlah saya untuk menyeberang gurun itu. Izinkanlah saya untuk sekurang-kurangnya mengimbas sekali lalu, walau dari jauh, penghujung perjalanan Tuan.Tetapi sebelum kita bermula, saya minta Tuan berikan satu bukti.”

“Bila?” Tanya Paracelsus dengan gusar.

“Sekarang,” kata pemuda itu, suaranya agak kasar.

Perbincangan mereka dimulakan dalam bahasa Latin, kini mereka berbual dalam bahasa Jerman.

Dengan tiba-tiba, pemuda tersebut bingkas bangun.

“Tuan, terkenal,” katanya, “kerana mampu menjelmakan kembali bunga ros yang sudah terbakar menjadi abu dengan ilmu Tuan. Berilah saya peluang menyaksikan keajaiban ini. Itu yang saya minta dan sebagai balasan saya akan memperhambakan diri kepada Tuan.”

“Kamu ini terlalu mudah tertipu.” Kata Paracelsus. “Aku tidak perlukan orang seperti itu. Aku perlukan mereka yang benar-benar percaya.”

Tetapi pemuda itu tidak mengubah pendiriannya.

“Kerana saya benar-benar percayalah saya mahu menyaksikan sendiri dengan mata-kepala saya kemusnahan dan penjelmaan semula bunga itu.”

“Kamu terlalu mudah tertipu,” ulang Paracelsus. “Kamu kata aku boleh memusnahkannya?”

“Sesiapa sahaja boleh memusnahkan bunga itu,” balas pemuda itu.

“Kamu silap,” kata Paracelsus. “apakah kamu percaya yang sesuatu itu boleh dilenyapkan? Adakah kamu percaya Adam dapat memusnahkan sekuntum bunga atau sehelai rumput di syurga?”

“Kita bukanlah berada di syurga,” kata pemuda itu, masih berdegil dengan pendiriannya. “Di dunia ini tiada apa yang kekal.”

Paracelsus melangkah setapak dan merenung tajam pemuda itu.

“Di mana kita, jika bukan di syurga?” tanyanya.”Apakah kamu percaya yang Tuhan akan mencipta sesuatu yang tidak kekal?”

“Sekuntum bunga ros boleh dibakar,” jawab pemuda itu, cuba menangkis kata-kata Paracelsus.

“Masih ada api di situ,” kata Paracelsus, sambil menuding ke arah diang. ‘ Jika kamu humban ros ini ke dalam baranya, kamu mungkin percaya yang ia telah dimusnahkan, dan yang tinggal hanyalah abu. Sekali lagi aku katakan yang ros ini sebenarnya bersifat kekal, dan hanya rupanya sahaja yang mungkin berubah. Dengan satu kata dari aku, kamu akan dapat melihatnya kembali.”

“Satu kata?” Tanya pemuda itu dengan penuh hairan. “Relau Tuan sudah sejuk, dan retot labu kaca tuan diselubungi debu. Apa yang boleh Tuan buat untuk menjelmakan kembali bunga itu?”

Paracelsus memandang pemuda itu, matanya jelas terpancar kesedihan.

“Relau aku mungkin sudah sejuk,” angguk beliau, “dan retot labu kaca aku diselubungi debu. Tapi pada hentian ini bukan relau dan retot labu kaca yang aku gunakan.”

“Jadi saya minta Tuan,” kata pemuda itu – kata-katanya dingin, “agar Tuan mengizinkan saya melihat kemusnahan dan kelahiran semula ros itu. Saya tidak peduli apa alat yang tuan gunakan.”

Paracelsus diam seketika, kemudian beliau berkata:

“Jika aku lakukan apa yang kamu minta, kamu akan menuduh aku menggunakan sihir. Keajaiban yang kamu lihat tidak akan membawa kepada kepercayaan. Ketepikan ros kamu itu.”

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Paracelsus, fikir pemuda itu.. Paracelsus meninggikan suaranya.

“Dan tambahan lagi, siapa kamu yang datang ke rumah aku, dan memaksa aku menunjukkan keajaiban kepada kamu? Apa hak kamu?”

Pemuda itu menjawab, suaranya bergetar:

“Saya tahu saya tiada hak untuk meminta apa-apa. Kerana saya datang untuk memperhambakan diri pada Tuan, dan untuk belajar di bawah bayang- bayang Tuanlah, saya membuat permintaan ini. Tunaikan apa yang saya hajati. Tiada apa lagi akan saya minta selepas itu. Saya akan mempercayai apa yang saya saksikan dengan mata saya sendiri.”

Pemuda itu lantas mengambil ros yang diletakkannya di atas meja dan menghumbankannya ke dalam diang yang masih membara. Warna ros itu beransur hilang, dan perlahan-lahan ia berubah menjadi abu. Beliau menunggu, dengan penuh harapan. Setiap detik yang berlalu sambil beliau menunggu berlalu dengan begitu perlahan..

Paracelsus hanya duduk perlahan-lahan dan memerhatikan pemuda itu. Kata beliau:

“Pakar-pakar ubat dan doktor di Basel menuduh saya penipu. Mungkin benar tuduhan mereka. Lihat abu yang tadinya sekuntum bunga ros. Ia tidak akan menjadi bunga ros lagi.”

Pemuda itu terasa malu. Paracelsus sebenarnya seorang penipu, atau hanyalah sekadar seorang yang bercakap besar, dan beliau telah melangkah masuk ke rumahnya dan memaksa beliau mengaku yang ilmu beliau hanyalah palsu semata-mata.

Beliau berlutut di hadapan Paracelsus dan berkata:

“Apa yang saya lakukan tidak boleh dimaafkan. Saya tidak percaya, dan saya memang tidak layak. Biarlah saya cuma melihat abu bunga ros itu. Saya akan pulang bila kepercayaan ada di dalam diri dan saya akan menjadi murid Tuan, dan pada penghujung perjalanan kita nanti, saya akan melihat sekuntum ros dari abu itu.”

Nada beliau ikhlas, tetapi keikhlasannya adalah kerana rasa simpati pada Paracelsus yang begitu terkenal dengan ilmunya tetapi nyatalah hanya sekadar seorang yang pandai berpura-pura sahaja.

Beliau mengutip kembali wang emas yang ditaburkan tadi kerana tidak mahu menghina Paracelsus. Paracelsus mengiringnya ke pintu keluar dan berkata yang beliau sentiasa akan disambut di rumahnya dengan tangan terbuka. Masing-masing sedar yang ini adalah pertemuan terakhir mereka.

Sebelum memadamkan pelita Paracelsus yang kini bersendirian mengumpulkan abu di diangnya dan menaburkannya ke atas tapak tangannya. Beliau membisik satu perkataan, lalu dari abu di atas tangan beliau, menjelma sekuntum ros.

Posted in: Uncategorized