>TERJEMAHAN: Haruki Murakami

Posted on Februari 23, 2007

2


>Tatkala Aku Melihat Gadis yang 100% cocok bagiku Di Satu Pagi April yang Indah oleh Haruki Murakami

Pada satu pagi April yang indah, di sebuah lorong sempit di Harajuku Tokyo, aku telah berselisih dengan gadis yang 100% cocok bagiku.Memang benar, dia bukanlah begitu cantik. Tiada apa pada dirinya yang menonjol. Pakaiannya juga biasa sahaja. Bahagian belakang rambutnya seperti tidak terurus, mungkin kerana dia terlewat bangun tidur. Dia juga agak berumur – mungkin sudah mencecah 30, dan mungkin istilah gadis tidak sesuai untuknya.Tapi dari jarak 50 ela darimana aku melihatnya, dia bagiku gadis yang 100% cocok untuk aku. Sebaik sahaja aku melihatnya, jantungku bergetar, dan bibirku menjadi sekering gurun.

Mungkin bagi kamu seseorang gadis itu perlu mempunyai ciri-ciri tertentu untuk kelihatan cantik – ada yang suka yang berkaki panjang, atau bermata besar, atau yang mempunyai jari-jemari yang anggun, atau mungkin juga kamu rasa tertarik tanpa apa sebabpun kepada gadis yang mengambil masa yang lama untuk makan. Aku juga begitu. Kadangkala aku sedar yang aku sedang merenung gadis yang berada di meja berhampiran di restoran kerana aku sukakan bentuk hidungnya.Tapi kadangkala kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang menarik hati kita. Memang aku suka melihat hidung seseorang, tapi aku tidak dapat mengingati rupa hidungnya. Apa yang aku tahu ialah dia bukanlah seorang gadis yang cantik. Aneh, kan?

“Semalam, aku berselisih dengan gadis yang 100% cocok untukku,” kataku pada seorang teman.

“Ya?” katanya. “Cantik tak dia?”

“Taklah sangat”

“Apa yang membuat kamu tertarik hati?,”

“Tak tahulah. Aku tak ingat langsung apa-apapun tentang dia.”

“Anehnya.”

“Ya. Aneh”

“Kemudian,” katanya yang sudah semakin bosan, “apa yang kamu buat? Kamu bercakap dengan dia? Atau kamu ikut dia?”

“Tak. Sekadar berselisih saja.”

Dia berjalan dari timur ke barat. Aku dari barat ke timur. Pagi itu memang menyegarkan.

Kenapalah aku tak menegurnya? Aku rasa setengah jam sudah mencukupi: aku cuma nak tahu tentang dirinya, bercerita tentang diri aku – dan, apa yang paling ingin aku lakukan – terangkan kepadanya takdir yang membawa kami berdua berselisih pada pagi April yang indah ini.

Selepas berbual, kami akan makan tengahari. Mungkin menonton wayang selepas itu, dan singgah ke hotel untuk minum. Mungkin juga kami akan pulang bersama.

Peluang seperti ini byukan selalu datang..

Kini jarak antara kami hanyalah lima belas ela sahaja.

Bagaimanakah boleh kumulakan? Apa yang patut aku katakan?

“Selamat pagi cik. Bolah tak luangkan setengah jam untuk berbual dengan saya?”

Mungkin tidak. Bunyinya seperti aku ni seorang penjual insurans.

“Maaf ya. Boleh beritahu saya di mana kedai dobi yang buka sepanjang hari di sini?”

Tak masuk akal. Bukannya aku bawa pakaian kotor! Siapa yang nak percaya?

Mungkin aku patut jelaskan perkara yang sebenar: “Selamat pagi. Kamu adalah gadis yang 100% cocok untuk saya.”

Tidak. Dia tentu tidak akan percaya. Kalau yapun, dia mungkin tak mahu berbual dengan aku. Mungkin dia akan berkata, maaf ya, saya mungkin gadis yang 100% cocok untuk kamu, tetapi kamu bukanlah lelaki yang 100% cocok untuk saya. Mungkin itu yang akan terjadi. Kalau itu yang terjadi habislah aku. Mana nak letak muka? Umur aku ni dah 32.

Kami melintasi sebuah kedai bunga. Terasa udara panas menyentuh kulitku. Lorong yang aku lalui ini lembap, dan aku terbau kehadiran bunga ros. Namun aku tak mampu untuk menegurnya. Dia memakai sweater putih, dan di tangan kanannya dia memegang sekeping sampul surat putih yang tak berstem. Entah apa kandungannya. Mungkin sepanjang malam dia menulis surat itu – kerana aku lihat dia seperti mengantuk.Mungkin segala rahsianya tersimpan di dalam sampul surat itu.

Aku berjalan beberapa langkah dan membelok. Gadis itu pula lenyap di celah-celah orang-ramai.

HARI INI aku tahu apa yang akan kukatakan kepadanya: aku akan memberi satu syarahan yang panjang, terlalu panjang untuk aku sampaikan. Ah! Idea aku tidak pernah ada yang praktikal.

Ia akan bermula dengan “Pada suatu hari” dan berakhir dengan “begitu sedih kisah ini, ya?”

PADA SUATU HARI, di ssebuah bandar, hidup seorang budak lelaki dan seorang gadis. Umur budak lelaki itu 18, manakala gadis itu pula 16. Budak lelaki itu bukanlah kacak, dan gadis itu juga tidaklah cantik. Mereka seperti kebanyakan budak lelaki dan gadis yang sepi di dunia ini. Tetapi mereka percaya dengan sepenuh hati yang di luar sana wujud lelaki dan gadis yang 100% cocok untuk mereka. Ya, mereka percaya dengan keajaiban. Dan keajaiban itu telah berlaku pada mereka.

Satu hari mereka bertemu di hujung sebuah jalan.

“Anehnya,” kata budak lelaki itu. “Saya telah mencari kamu seumur hidup saya. Kamu mungkin tidak percaya tapi kamu adalah gadis yang 100% cocok untuk saya.

“Dan kamu,” kata gadis itu, “adalah lelaki yang 100% cocok untuk saya, kamu memang seperti yang saya angankan. Saya rasa seperti berada dalam mimpi.

Mereka duduk di atas sebuah kerusi di taman, berpegang tangan dan bercerita kisah hidup mereka berjam-jam lamanya. Mereka tidaklah sepi lagi. Mereka telah bertemu dan ditemui oleh insan yang 100% cocok untuk diri masing-masing. Tentu indah bila bertemu dengan orang yang 100% cocok untuk kamu. Ia satu keajaiban.

Tetapi ketika mereka sedang rancak berbual, mereka terasa sedikit sangsi: apakah begitu mudah untuk mencapai impian ini?

Lantas budak lelaki tersebut berkata: “Mari kita uji diri kita. Jika benar kita adalah 100 % cocok untuk diri masing-masing, kita sudah tentu akan bertemu lagi. Dan bila kita bertemu, kita akan tahu yang kita memanglah 100 cocok untuk diri masing-masing. Ketika itu kita bolehlah berkahwin tanpa sebarang perasaan sangsi. Apa pendapat kamu?”

“Ya, ” Kata gadis itu. “Itulah yang patut kita lakukan.”

Lalu mereka berpisah. Gadis itu ke timur, dan budak lelaki itu ke barat.

Ujian tersebut sebenarnya tidak perlu dilakukan kerana mereka memanglah 100% cocok untuk diri masing-masing, dan pertemuan mereka adalah satu keajaiban. Tetapi mustahil mereka mengetahui perkara ini kerana mereka masih muda. Ombak takdir yang begitu dingin dan tidak berperikemanusiaan akan menenggelamkan impian mereka.

Pada satu musim dingin, kedua-dua gadis dan budak lelaki itu diserang sejenis penyakit ganjil. Setelah beberapa minggu berada di antara hidup dan mati, mereka sembuh, tetapi mereka telah kehilangan ingatan mereka. Bila mereka sedar, otak mereka telah kosong. Segalanya telah dilupakan.Tetapi mereka berdua amat bijak dan gigih, dan dengan berusaha keras mereka telah dapat mempelajari kembali segala kemahiran yang telah mereka lupai dan kini menjadi anggota masyarakat yang berguna.

Masa berlalu dengan pantas. Umur lelaki itu kini 32, dan umur gadis itu kini 30.

Pada satu pagi April yang indah, ketika sedang mencari secawan kopi sebelum memulakan harinya, lelaki itu berjalan dari barat ke timur, makanala gadis itu yang sedang perjalanan ke pejabat pos, berjalan dari timur ke barat di sepanjang jalan yang sama di Harajaku, Tokyo. Mereka berselisih. Sekilas ingatan mereka yang telah lama terpendam timbul kembali dan jantung kedua-duanya bergetar pantas. Dan mereka
tahu:

Dia adalah gadis yang 100% cocok untuk saya
Dia adalah lelaki yang 100% cocok untuk saya.

Tetapi ingatan yang timbul itu terlalu lemah, dan fikiran mereka tidaklah seperti 14 tahun lalu. Tanpa berkata barang sepatahpun, mereka berselisih dan hilang di celah-celah orang ramai. Selama-lamanya.

Begitu sedih kisah ini, ya?

Ya, itulah yang sepatutnya saya katakan padanya.

Posted in: Uncategorized