>Si Kudus Mendapat Cincin*

Posted on Januari 19, 2008

0


>Arakian, tersebutlah hikayat si Kudus yang sedang mencari makrifat. Sudah lama dia mencari makrifat dari satu penjuru dunia ke satu penjuru dunia sudah dia jejaki, tapi bayang makrifat itu pun tak dia ketemu.

Satu hari, di persimpangan ke Damsyik, dia mendengar khabar yang makrifat itu sebenarnya ada di negara antah berantah, tersimpan di para atas sebuah gobok di sana. Alangkah gembiranya Si Kudus bila mendengar khabar itu, dan seperti mahu saja dia mahu memanjat angin mendapatkan makrifat itu.

Tapi, sebelum sempat dia berbuat apa-apa, seorang utusan raja datang kepadanya dan memberitahu yang sang raja mahu bertemu dengannya.

Sesampai di istana, Si Kudus pun segeralah bertanya pada sang raja, gerangan kenapakah dia dipanggil, tiada orang lainkah yang boleh menggantikannya kerana makrifat yang dia cari sudah hampir dia ketemui.

Titah sang raja, wahai kudus, beta ada tugasan yang teramat penting untukmu. Beta mahu kau berikan cincin ini pada si Kudung di negeri Pahang.

Adapun negeri Pahang itu sungguhlah jauh, dan sangatlah terpencil, dan khabarnya negeri Pahang itu didiami segala jenis makhluk dan jin yang pelik-pelik yang sentiasa mahu menyesatkan manusia.

Si Kudus umpama termakan buah malakamo, hendah diluah mati bapak, hendak ditelan mati emak. Tapi kerana setianya pada raja yang tak berbelah bagi, dia dengan berat hati mengambil cincin itu dan melangkah ke negeri Pahang tempat tinggalnya Si Kudung itu.

Tidaklah boleh kita ceritakan betapa azabnya perjalanan si Kudus ke negeri Pahang itu, dan tidaklah terkata kita akan makhluk dan jin yang dia ditemui dalam perjalannya, tak terkira mereka mahu menyesatkannya.

Akhirnya sampai jugalah Si Kudus di rumah Si Kudung, dan dari luar dia berteriaklah memanggil Si Kudung kerana sudah tak sabar mahu menyambung perjalanan mencari makrifatnya.

Si Kudung keluar, berkain pelikat, misai bersimpul, dan dengan muka bengis bertanya akan hajat Si Kudus datang ke rumah orang dan bertempik-tempik seperti tiada adat rupanya.

Maka Si Kudus pun berceritalah akan bala yang menimpanya, dari saat dia di persimpangan Damsyik hinggalah dia di laman rumah si Kudung memegang sebentuk cincin.

Dan sungguh si Kudung terasa amat belas kepada Si Kudus, lalu dia menyuruh Mek Mah, orang suruhannya, supaya memperkenankan pada Si Kudus persalianan yang maha hebat juga dimandikan si Kudus dengan air kasturi supaya segala kotoran dan hina yang terpalit pada badannya hilang semua.

Setelah siap dipakai dan dikasturikan hingga segak-segak laksana dewa yang turun dari kayangan, Si Kudus pun meminta diri untuk berangkat kerana dia sudah tidak sabar lagi mahu mencari makrifatnya.

‘Janganlah kamu mengharap pada makrifat itu, saudaraku Si Kudus,’ kata Si Kudung. ‘Adapun, ia sudah tentu sudah diambil sang raja semasa kamu bersusah payah ke negeri Pahang ini.’

‘Tapi,’ kata si Kudus, makrifat itu milik aku! Aku yang sudah begitu lama mencarinya, dari satu penjuru dunia ke penjuru dunia yang lain aku mencarinya. Kenapa pula begitu senang sang raja mahu mengambilnya?

Maka bertambah belaslah Si Kudung mendengar kata-kata Si Kudus, lalu dia pun berkata dengan nada sedih dan sebak, ‘Adapun, kamu sebenarnya, meski sudah dari penjuru dunia ke penjuru dunia mencari makrifat, tak layak untuk menerima makrifat itu.’

Dan beranglah Si Kudus mendengar hinaan itu hingga terketar-ketar tangannya mahu mencabut keris. Dengan tempikan yang maha dahsyat dia pun bertanya, ‘kenapa?’

‘Kerana kau memberi cincin pada si Kudung,’ kata si Kudung lagi, lalu berhamburlah air matanya kerana terlalu kasihankan si Kudus.

* Satu lagi cerita bonus dari Kasut Biru Rubina

Posted in: Uncategorized