>Patah Sayap

Posted on Januari 20, 2008

2


>Umurku 18 tatkala cinta membuka mataku dengan sinar sihirnya dan menyentuh jantungku buat pertama kali dengan jemari membaranya. Salma Karama adalah wanita pertama yang memukau dan membangkitkan semangatku. Dia membawa aku ke taman syurga kata-kata, di situ hari-hari berlalu bagai mimpi dan malam lenyap seperti pesta.

Salma Karama, dia yang mengajar aku, dengan kecantikkannya, bagaimana untuk mengagungkan keindahan, dan merungkai rahsia cinta dengan kelembutannya. Dialah yang meratib di telingaku baris-baris yang menghembus nyawa kehidupan spiritual.

Pemuda mana yang akan lupa gadis pertama, yang dengan kehalusan lakunya, mengubah khalayan remajanya kepada kesedaran yang mengerikan, mencedera dengan kemanisannya, dengan kelazatan meminggir maut itu? Siapa antara kita yang tidak cair dengan kerinduan untuk momen aneh itu bila, jika kau sedar, kau akan menyaksikan keseluruhan hidup kau berubah serta-merta, dan lubuk jiwamu semakin mendalam, dipertajamkan dan dibenam ke dasar kerana kegahirahan yang melampau – dan ini semua, walau diasak luka hati kerana merahsiakan segalanya – keghirahan yang masih didamba walau dibayangi air mata, kerinduan dan kelesuan.

Setiap pemuda punya Salmanya, yang meragut jiwanya tanpa disedari dengan menjelma ddalam waktyu mekar hidupnya, lalu merubah kesunyiannya setara bait-bait puisi. Lalu kesunyian hari-harinya menjadi keintiman dan kesunyian malam-malamnya menjadi lagu.

Aku keliru, dicarik antara naluri dan ilmu tatkala aku mendengar bisikan cinta dari bibir Salma ke telingaku. Hidupku dahulu kosong, muram dan gersang, seperti Adam yang mabuk di syurga. Lalu aku lihat Salma berdiri di hadapan aku, seperti garis cahaya. Salma Karama, Hawa jantungku, dia dihuni rahsia dan keajaiban, dan dialah yang membuat ia memahami intipati kejadian, yang buat ia berdiri seperti cermin menghadap ruh-ruh itu. Kerana Hawa, kerana keras hatinya, dan keredhaan Adam, mereka dibuang dari syurga, tapi Salma pula melarik aku ke taman cinta dan ketulusan dengan kemesraannya dan keredhaan aku. Tapi apa yang menimpa lelaki pertama itu menimpa aku juga, dan pedang berapi yang membuangnya dari syurga adalah seperti pedang yang menakutkan aku dengan kilau tajamnya dan yang melenyapkan aku dari taman cinta sebelum aku melupakan segala amaran dan menjamah buah khuldi.

Hari ini, sesudah laluan tahun-tahun yang muram itu mengaburi hari-hari itu, tiada yang tinggal dari mimpi indah itu kecuali kenangan yang menyeksa, seperti kepak halimunan di pinggir akalku, mencetus keluh-kesah di dasar jiwaku, menyuling air mata duka dan kesal dari kelopak mataku. Dan Salma – Salma yang cantik, yang menawan – telah pergi jauh melampaui permatang biru itu, dan tiada jejaknya yang kekal kecuali kepertitan yang menjerut jantungku dan nesan marmar berdiri di bayang-bayang saru. Hanya nesan dan jantung ini masih kekal untuk menceritakan kepada dunia nyata lara Salma Karama. Kesunyian yang berdiri memerhati nesan tak merungkai apa-apa rahsia yang disembunyikan para dewa di dalam relung-relung kerandanya.; dan gerisik ranting-ranting yang menyerap unsur-unsur tubuhnya tak melafazkan misteri bisu yang tinggal. Dan derita jantung ini, adalah apa yang berkata-kata, apa yang ditulis tinta gelap, melakarkan lembaga-lembaga yang melakonkan sandiwara sedih, yang dibintangi cinta, kecantikkan dan maut.

Rakan-rakan waktu mudaku, kini tersebar di sekitar Beirut, kalau kau melintas kuburan berhampiran hutan pain itu, masuklah dengan senyap dan melangkahlah perlahan, jangan sampai rentak tapakmua mengganggu puing-puing manusia yang tinggal di bawah tanah itu. Berdirilah kau dan kagumi nesan Salma, sampaikan salamku kepada bumi yang memeluk tubuhnya, dan lafazkan namaku dengan keluhan, dan berkatalah pada dirimu, “Di sini berkubur harapan pemuda itu, yang jatuh bangun waktu telah membuang dirinya dari tanah airnya. Di sini cita-citanya lenyap, keceriannya terhenti, air matanya kering dan senyumnya luput. Di antara nesan-nesan bisu ini luka jantungnya masih terhiris. Di atas nesan itu ruhnya terapung setiap malam, berbual dengan kenangan, menyanyikan dengan semangat kesunyian lagu-lagu lara, meratap bersama ranting-ranting, seorang gadis yang semalam nafasnya masih dinyanyikan hidup dan hari ini menjadi rahsi bisu di rahim bumi.”

Dan aku merayu rakan-rakan waktu mudaku, agar bersumpah atas nama wanita-wanita yang pernah kau cintai, untuk mengalungkan bunga pada nesan wanita yang aku pernah cintai ini. Bunga-bunga yang kau temui pada nesan-nesan yang sudah dilupakan adalah seperti embun jatuh dari kelopak mata pagi menghujan kelopak ros yang layu.

(terjemahan dari Broken WIngs, Kahlil Gibran)

Posted in: Uncategorized