>Cerita yang direjek dari Kasut Biru Rubina

Posted on Januari 24, 2008

0


>Kisah Pari-Pari Hari Minggu
————————————
(Ilham dari buku What is Architecture oleh Paul Shepheard)

Cinderella gusar.

Malam ini ada majlis tari menari. Tapi, tapi, hari ini hari itu.

Hari ITU.

Ala, hari yang iklan-iklan kata, hari tenat. Hari berat.

Macamana nak menari dan jatuh cinta dan berkahwin dan hidup kekal abadi kalau hari ini hari
itu?

Aduh, duh.

Tapi Cinderella bernasib baik. Dia ada nenek kebayan. Lalu dia pun berlari-lari anak ke gobok nenek kebayannya.

“Nek, Nek,” kata Cinderella sedikit tercungap, sedikit malu. Tapi masih maintain manja dan vogue.

“Hari ni kan Nek, ada majlis tari menari di istana raja. Putera Raja yang hensem tu pun dah RSVP. Tapi…”

“Tapi?” tanya Nenek Kebayan. “Nak baju? Nak selipar kaca? Nak dandan rambut? Nak Kacip Fatimah?”

“Er, tak.”

“Habis tu?”

“Hari ni kan…”

Sunyi yang panjang.

“Oh, hari itu rupanya,” kata Nenek Kebayan, tersenyum nakal. “Tak pa nak. Kamu pegi ambil buah tembikai yang paling besar dan paling ranum kat ladang.Wak Seman”

Cinderella hairan. Tembikai? Untuk apa? Tapi dia tak membantah. Dia terus mengodek-ngodek ke ladang mencari tembikai.

Oh, yang ini terlalu kecil!

Oh yang ini belum ranum!

Oh yang ini paling besar dan paling ranum!

Lalu Cinderella ambil tembikai yang paling besar dan paling ranum itu dan mengendong ia seperti mengendong seorang bayi diraja. Cermat. Hati-hati. Pijak semut pun tak mati. Bila sampai ke gobok Nenek Kebayan dia letakkan tembikai itu di atas meja.

Nenek Kebayan menutup mata. Berkumat kamit dan mendendangkan tongkat saktinya.

Asap api naik ke awan,
Lenyap pergi hilangnya gundah
Harap hati kepada tuan
Langit tinggi kupandang rendah

Et voila!

Atas meja, tembikai sudah berubah menjadi tampon!

Cinderella seronok! Tepuk-tepuk tangan seronok!

“Tapi ingat,” kata Nenek Kebayan, “kamu mesti pulang sebelum jam 12.”

“Kenapa Nek?”

“Oh Cinderella, jantung hatiku, penawar duka kalbuku, tepat jam 12, tampon ni akan berubah menjadi tembikai kembali!”

Posted in: Uncategorized