>Kafka

Posted on Februari 20, 2008

0


>Kita sudah sedia maklum, yang Virgil, tatkala nazak, meminta sahabatnya untuk membakar manuskrip Aeneidnya yang belum dihabiskan, yang 11 tahun dia luangkan untuk diperhalusi; Shakespeare tak pernah langsung pertimbangkan untuk mengumpul teaternya dalam sebauh buku; Kafka mengamanahkan Max Brod untuk memusnahkan novel dan cerita yang akan menjulang namanya. Apa yang merungkai episod-episod ini, tak silap aku, ialah ilusi.

Virgil tahu dia boleh mengharap pada keingkaran sahabat-sahabatnya, seperti juga Kafka dengan Max Brod. Kes Shakespeare pula sama sekali berbeza. De Quincey mengunjurkan bahawa, bagi Shakespeare, persembahan di khalayak adalah apa yang penting buat Shakespeare.

Apapun, mereka yang benar-benar mahu melenyapkan karya sendiri tidak akan menyerahkan tugas ini pada orang lain. Kafka dan Virgil bukanlah mendambakan kemusnahan karya mereka; mereka cuma mahu membebaskan diri mereka dari tanggungjawab yang dibebankan oleh buku mereka.

Virgil, pada firasatku, bertindak atas sebab estetika; dia mahu menyemak semula nada atau julukan tertentu dalam karyanya. Kes Kafka lebih rumit. Karyanya boleh dihuraikan sebagai cerita ibarat atau siri cerita ibarat dengan tema hubungan moral antara individu dan Tuhan dan dengan alam maya yang tak boleh difahami.

Meski dengan ambians kontemporari ini, Kafka lebih hampir kepada babak Job (dari Perjanjian Lama) daripada apa yang digelar “sastera moden”. Karyanya berteraskan kesedaran keagamaan, khususnya Yahudi (fix); peniruannya dalam konteks lain menjadi tak bermakna. Kafka menganggap karyanya sebagai bukti keimanan, dan dia tak mahu membuat umat manusia tawar hati dengan agama kerana karyanya. Kerana itu, dia meminta sahabatnya untuk memusnahkan karyanya.

Tapi kita juga boleh mengesyakki motif lain. Kafka hanya bermimpi ngeri sahaja. (fix) Di waktu yang sama dia sedar akan kesan berlengah-lengah, dan ini boleh dibaca di dalam semua bukunya. Kedua-dua faktor ini, kesedihan dan sifat melengahkan membuat dia tak bermaya. Dia mahu menulis lembaran yang lebih ceria tapi maruahnya tak membenarkan.

(Terjemahan dari Kafka, The Vulture oleh Jorge Luis Borges)

Posted in: Uncategorized