>Cerita no 8

Posted on September 28, 2008

0


>Dua orang. Sepasang manusia. Seorang lelaki. Seorang wanita. Di dalam restoren. Sambil minum, dan makan. Kalau kita lihat dari luar, kita tahu ini bukan kali pertama.

Si lelaki cakap, ‘wanita, gigimu dah kuning. Matamu dah tak cantik. Aku rasa kita patut berpisah.’ Si wanita cakap, ‘lelaki, perutmu bertambah boroi. Tiap-tiap bulan wang yang kau berikan aku semakin sikit. Aku rasa kita patut berpisah.’

Jadi si lelaki dan si wanita memutuskan untuk berpisah, dan berjanji, 10 tahun kemudian untuk bertemu kembali, dan mungkin kalau hidup mereka masih tak berubah, mereka akan kembali.

10 tahun kemudian, di restoren yang sama, pasangan lelaki dan wanita itu bertemu lagi. Mereka minum dan mereka makan. Kalau kita lihat dari luar, kita tahu, ini adalah pertama kali.

Si lelaki cakap, ‘wanita, gigimu masih kuning. Matamu masih tak cantik. Tapi aku selalu teringatkan cara kau sikat rambutmu.’ Si wanita cakap, ‘lelaki, kau bukan boroi, tapi sudah gemuk. Aku tengok kereta yang kau pakai masih sama. Tapi aku selalu teringatkan cara kau menyentuh jariku.’

Mereka berdua diam buat seketika.

SI lelaki memandang si wanita. Si wanita memandang si lelaki. Di luar hujan turun. Mereka berdua bangun, dan melangkah keluar, ke arah yang berasingan.

Posted in: Uncategorized