>Cerita no 9

Posted on September 28, 2008

0


>Untuk hari jadinya ke sembilan, ayahnya memberikan Ruslan tabung babi. Tabung tu berwarna merah jambu, dan diperbuat daripada tembikar. Pada hidungnya ada dua punat, A dan B. Bila ditekan punat A, ekor tabung babi tu akan berpusing. Bila ditekan tabung B mata tabung babi tu akan mengeluarkan cahaya kemerahan yang berkelip-kelip.

Ruslan menamakan tabung babi tu Steven Seagal, sempena nama pelakon terbaik di dunia. Setiap hari Ruslan akan memasukkan separuh duit belanjanya ke dalam Steven Seagal. Ruslan suka mendengar bunyi ‘ting’ setiap kali syiling yang dimasukkan mencecah dasar perut Steven Seagal. Entah kenapa, bunyi ‘ting’ dasar perut Steven Seagal mengingatkan Ruslan pada sesuatu yang abstrak dan nikmat dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kalau boleh tiap-tiap hari Ruslan mahu masukkan syiling dalam Steven Seagal supaya dia boleh mendengar bunyi ‘ting’ bila syiling mencecah dasar Steven Seagal.

Di sekolahnya, Ruslan ada seorang kawan baik. Nama kawannya Anna Akhmatova bte Muhammad Yussuf Darwis. Anna datang dari St Petersburg, Rusia, dengan ayahnya, yang sekarang kerja sebagai Jaga di PAsaraya Giant.

Ruslan sukakan Anna kerana walaupun Anna cantik, pandai, dan disukai semua orang, dia masih memakai kasut Power yang jarang dikapur. Ruslan dan Anna duduk bersebelahan di dalam kelas 3A dan selalu menjadi pujian kerana kedua-dua mereka pandai Matematik dan Bahasa Inggeris. Mereka selalu berkongsi Bubble Yum yang ayah Anna, yakni Muhammad Yussuf Darwis, cilok dari Giant sebelum pulang ke rumah setiap pagi.

Satu hari selepas pulang dari tuisyen, Anna Akhmatova meminta untuk melihat Steven Seagal kerana kurius setelah Ruslan, setiap hari asyik bercerita tentang Steven Segal dan bagaimana perutnya berbunyi ‘ting’ setiap kali duit syiling di masukkan ke dalamnya.

Berbeza dengan Ruslan, Anna Akhmatova pernah melihat babi sebenar, tapi dia tak pernah melihat babi tembikar, khususnya yang namanya Steven Segal dan yang perutnya berbunyi ‘ting’ bila dimasukkan duit syiling. Malah semasa kecil, di St Petersburg, ibunya, Petrovna Lublyana, selalu menggoreng kaki babi sebagai snek petang untuk dimakan bersama teh di musim dingin. Rasanya rangup, kata Anna Akhmatova, macam keropok lekor dipotong nipis-nipis. Tapi sekarang, setelah berhijrah ke Malaysia, dan kematian ibunya, Petrovna Lublyana, Anna Akhmatova tak pernah lagi memakan kaki babi sebagai snek petang.

Mulanya Ruslan enggan, kerana abahnya melarang dia berkongsi Stevan Segal. Abahnya tak pernah beri alasan kenapa, dan Ruslan mengesyakki yang ia ada kena mengena dengan keluarga mereka yang sering dilabel sebagai ‘Liberal’ dan ‘Plural’ oleh jiran-jiran sekeliling. Ruslantak tahu ‘liberal’ dan plural’ tu apa sebenarnya, tapi dia boleh agak yang ia macam kudis buta yang gatal sangat bila digaru, dan akan bernanah dan keluar darah kalau diteruskan.

Jadi mulanya, Ruslan enggan, tapi selepas dipujuk dan dipujuk dan dipujuk oleh Anna Akhmatova Ruslan mengalah. Ruslan pun membawa Anna Akhmatova ke rumahnya.

Posted in: Uncategorized