>Mariam Anak Pak Samad Cantik Berkemban

Posted on Januari 6, 2009

0


>Mariam anak Pak Samad memang cantik kalau berkemban, kata Dollah pada Latifah bila Latifah tanya kenapa Dollah menolak cintanya. Tapi Dollah sebenarnya tak pernah melihat Mariam Anak Pak Samad berkemban, dia cuma mengulang kata-kata Seman, dan dia rasa rugi besarlah kalau dia terima cinta orang yang tak cantik berkemban (Hakikat: Latifah tak cantik berkemban). Seman pun sebenarnya tak pernah melihat Mariam Anak Pak Samad berkemban, dia cuma mengulang kata Abror. Abror mungkin pernah melihat perempuan berkemban (makciknya, and mungkin dia rasa sedikit seronok, tapi itu antara dia dengan fikirannya), tapi dia pun tak pernah melihat Mariam Anak Pak Samad berkemban, dia cuma mengulang kata Wak Jono. Wak Jono pernah berkemban, tapi cuma telefon kameranya saja jadi saksi, dan dia juga tak pernah melihat Mariam Anak Pak Samad berkemban, dia cuma mengulang kata En Dahlan. En Dahlan sebenarnya tak wujud, dia adalah wakil rakyat Bagan Datoh yang wujud dalam kepala Wak Jono saja. Dalam kepala Wak Jono ada ramai orang, dan tiap-tiap hari dia dengar mereka bersembang. Tapi Wak Jono pemalu, dia tak pernah cuba menegur mereka. Tapi dia ada dengar En Dahlan bercerita satu hari tentang Mariam, dan wow, cantiknya, bila dia berkemban, dan entah macam mana ketika bersembang dengan Abror dua hari lepas, terpacul kata-kata itu dari mulutnya “Mariam anak Pak Samad memang cantik kalau berkemban”, meski dia tak kenal dan tak pernah berjumpa dengan mahu Mariam ataupun Pak Samad.

Apapun, Latifah yang gundah gulana bercerita pada Mariam Anak Pak Samad tentang kata-kata Dollah, dan Mariam Anak Pak Samad cuma tertawa kecil, dan berfikir, ya, aku memang cantik bila berkemban.

Keesokan harinya Mariam Anak Pak Samad satu keluarga sudah hilang, khabarnya dia sudah ke KUala Lumpur, atau disorok bunian. Bila berita itu tersebar kesemua pemuda kampung itu meratap tangis berhari-hari kerana kemungkinan untuk mereka melihat Mariam Anak Pak Samad yang khabarnya cantik berkemban sudah jadi sifar.

Posted in: Uncategorized