>Ennui Dalam Belukar

Posted on Januari 7, 2009

1


>Ada seorang lelaki, namanya Fizz.

Dia sunyi. Fizz sunyi sangat-sangat. Tiap malam, Fizz dihantui mimpi muluk-muluk tentang rakan sekerjanya, Sarah. Tiap hari Fizz ke tempat kerja, dia merenung leher mulus sarah, dan berfikir, ah! apa rasanya jika giginya dikacipkan pada leher mulus itu.

Tapi lelaki bernama Fizz itu tahu, itu hanya khayalan. Leher Sarah takkan langsung berkhalwat dengan gigi Fizz. Sarah sudah ada suami. Yang ada kereta besar, dan duit ribu raban. Dan Fizz juga tahu, Sarah bukan klimaks kehendaknya. Sarah cumalah simptom penyakitnya. Penyakit sunyi. Penyakit sunyi sangat-sangat.

Lalu hari berinjak satu demi satu, dan gigi Fizz pun semakin kuning, dan leher mulus Sarah pun semakin berkedut, hinggalah tahun ke-5 bila Fizz rasa sudah sampai kemuncak kesunyiannya.Pundaknya sudah tak tahan menggalas biawak kesunyian ini. Fizz rasa, kalau dia tak bunuh kesunyian tu, kesunyian tu akan bunuh dia. Dan Fizz pun bikin, apa yang ssemua lelaki mahu bikin, tapi tak mahu memperakui:

Fizz pesan seorang isteri gayapos dari China.

Selang dua minggu kemudian, datang surat dari pejabat pos meminta Fizz mengambil bungkusan. Dengan penuh debar hati, Fizz ambil cuti penuh hari tu, dan singgah di pejabat pos setengah jam sebelum ia dibuka.

Kotak yang Fizz terima tu besar. Cukup besar untuk memuatkan seorang manusia, dan payah jugalah Fizz mahu mengangkatnya naik ke apartmen lima tingkatnya (Fizz tinggal di tingkat lima).

Di rumah, di ruang tamu, dengan jantung bergoncang seribu, Fiza membuka kotak yang diterima tu pelan-pelan. Dia keluarkan satu demi satu komponen yang ada, dengan cermat, dan membaca manual dengan teliti.

3 jam kemudian Isteri gayapos Fizz sudah siap terpasang. Kini hanya perlu tekan punat, dan Fizz tak akan sunyi lagi.

Tit! Bunyi punat ditekan. Mata Isteri gayapos Fizz dibuka.

“Hai,” kata isteri gayapos Fizz. “Saya isteri awak. Apa nama saya?”

“Sarah,” kata Fizz. “Nama awak Sarah.”

“Hai,” kata Sarah. “Saya isteri awak. Nama saya Sarah.” Sara pun beri Fizz senyuman paling manis pada Fizz.

Fizz rasa beban di atas pundaknya itu diangkat oleh senyuman Sarah. Fizz sudah nampak cahaya yang akan mengeluarkannya dari lohong kesunyian yang menghantuinya.

Malang sekali, Fizz tak tahu yang tiga minggu kemudian. Sarah akan bermain kayu tiga dengan mesin basuh Fizz, dan keesokkan harinya akan lari dengan pembakar roti jenama Grundberg yang baru Fizz beli.

Tapi itu tiga minggu lagi.

Di hari ini, Fizz adalah orang paling gembira di dunia. Di hari ini Fizz tak lagi sunyi. Bukankah itu yang penting?

Posted in: Uncategorized