>Bandar Kaca

Posted on Januari 14, 2009

0


>Di hari isteri aku meninggal – barah kalau kau perlu tahu – aku ternampak seorang perempuan seiras dengan isteriku. Hanya sekali imbas saja, di luar tingkap atas bilik rumahku. Waktu itu aku di depan cermin, merenung cermin. Lebih tepat lagi, merenung cermin dan berfikir kenapa aku belum berubah menjadi serangga.

Aku nampak perempuan itu dan kemudian aku terlupa tentangnya.Seminggu kemudian, aku ternampak perempuan itu sekali lagi. juga di tempat yang sama, dari arah yang sama. Kali ini aku bergegas keluar dan aku ikut dia. 20 meter kami berjalan, dia berhenti di depan sebuah kereta merah. Dia berhenti dan dia masuk ke dalam kereta merah itu. Dia masuk ke dalam kereta dan dia hidupkan kereta, tapi sebelum sempat dia pergi, aku berlari ke arah keretanya.

Berlari ke arah keretanya, dan aku buka pintu keretanya dan aku tarik dia keluar. Aku tarik dia keluar dan aku tanya dia siapa. Dia tak nampak terkejut langsung dengan perlakuanku. Dia cakap dengan perlahan-lahan seperti bercakap dengan budak yang masih belum belajar bercakap, dia kata dia isteriku, takkanlah aku tak kenal dia. Aku kata tidak, dan hampir saja aku tampar dia, tapi aku cuma kata tidak, isteri aku sudah mati seminggu lalu. Oh, dia kata, kalau macam tu, dia bukan isteri aku. Tapi…

Tapi apa, aku tanya, tapi, katanya kalau dia bukan isteri aku, siapa dia. Siapa dia, dia tanya aku, berkali-kali, dengan nada yang semakin nyaring. Aku tak tahu, aku kata, tapi yang aku tahu dia bukan isteri aku. Tidak, katanya, dia yakin dia isteri aku, kerana kalau tidak, siapa dia. Aku kata tidak. Dia kata ya. Aku kata tidak. Dia kata ya. Aku kata tidak. Dia kata ya.

Posted in: Uncategorized