>Kisah Ismail dan Datuknya feat Nenek Ismail (ver 0.001)

Posted on Januari 15, 2009

0


>Ismail tersenyum sendiri, dagu melangut di tingkap, menunggu datuk pulang. Apa agaknya, akan datuk bawa pulang minggu ni?

Minggu lepas datuk bawa pulang cermin mata ajaib. Bila pakai, dunia jadi berwarna-warni. Segala benda yang dia tenung akan memancarkan pelangi, dan sepanjang minggu Ismail memanjat pelangi itu, tinggi dan semakin tinggi hingga sampai ke langit di mana dia bertemu dua ekor burung berwarna (apa lagi?) pelangi, bernama Bob dan Saiful. Bob dan Saiful akan membawa Ismail terbang ke bulan, ke bintang, dan di sana Bob dan Saiful akan mengajuk watak-watak kartun kegemaran Ismail hingga Ismail terkekeh-kekeh ketawa.

Minggu sebelum tu, datuk bawa pulang, syyy, pen yang bila dilakar pada gambar pada akhbar, majalah atau komik, akan menjadikan gambar itu nyata. Datuk dan Ismail sama-sama berlari ke kedai majalah berdekatan dan berebut-rebut menekan pen itu pada gambar-gambar dari majalah dan akhbar yang mereka beli. Dengan cara itu Ismail dapat bertemu dengan macam-macam watak komik kegemarannya, dan mereka bermain-main di satu sudut sementara di bilik, datuk berooh-aahh dan bermacam-macam lagi bunyi dengan perempuan-perempuan tak berpakaian yang dia tekap dari majalah-majalah yang dia beli. Ismail ada bertanya datuk apa yang dia buat di dalam bilik tu, dan kenapa bising sangat. Kata datuk dia bermain jengkek dan aci sembunyi. Ismail tanya, tak bolehkah dia main bersama? Datuk ketawa terbahak-bahak dan beri Ismail lagi dan lagi komik.

Minggu demi minggu datuk tak pernah kecewakan Ismail. Cuma…

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas, tapi bayang datuk belum muncul lagi. Di dapur nenek sudah mula hidangkan makanan – gulai ikan yu; gulai kegemaran Ismail dan datuk – dan selalunya nenek akan mengamuk kalau tak terus datang makan bila dipanggil. Tapi, Ismail, mahu makan dengan datuk, macam selalu…

Tepat 12:10, Nenek mula panggil Ismail, dan dengan berat Ismail pun melangkah ke dapur dan duduk di depan hidangan yang sudah tersedia di depannya. Perlahan-lahan ISmail menyuapkan nasi dan gulai ikan Yu ke dalam mulutnya. Walaupun kali ini sedapnya lebih dari selalu, Ismail masih rasa macam kurang selera. Mana datuk, fikir Ismail. Kenapa Ismail, tanya nenek. Kenapa nampak bermuram durja. Datuk, kata ISmail. Mana datuk. Ismail nak makan tengahari dengan datuk, macam selalu.Eh, kata nenek, itu kan datuk. Mana-mana Ismail menoleh kiri dan kanan mencari. Itu, kata nenek. Mana, nenek. Tak nampak pun, kata Ismail. Itu, kata nenek, yang kamu dok suap dalam mulut tu.

Posted in: Uncategorized