>Aku Bukan Tak Ada Perasaan, Sayang.

Posted on Januari 18, 2009

3


>Dia marah-marah lagi. Dia kata itu. Dia kata ini. Banyak yang dia kata. Tapi kesimpulannya, dia kata sejak akhir-akhir ini, aku tak ada perasaan.

Aku kata, duduk, aku ada satu cerita. Dia duduk dan aku mulakan cerita.

Dua bulan lepas aku jumpa seorang perempuan. Di sebuah restoren di hotel. Perempuan yang aku jumpa tu cantik. Aku mungkin silap, tapi perempuan yang aku jumpa itu, mungkin perempuan paling cantik di dunia. Ya, cantik lagi dari Lisa Surihani. Ya, mungkin mustahil, tapi aku ada di situ dan kau tak ada.

Dan aku kata pada diri aku, kalau aku tak tegur dia, dan lihat ke mana malam membawa kami, aku tentu akan menjadi orang paling menyesal di dunia.

Jadi aku beranikan diri, duduk di meja yang sama dengan dia – dia berseorangan, sedang makan Spaghetti Carbonara – dan aku kata hai. Dia pun kata hai balik. Tak ada tanda macam dia akan panggil polis, atau menjerit dengan sekuat hatinya, pencabul! atau perogol! atau Pencopet! Jadi aku pesan segelas air teh o ais limau, dan dan aku berfikir sejenak, sebab rancangan aku cuma sampai di takat ini saja.

Dia berhenti makan dan pandang aku.

Kemudian dia celupkan dua jari kanannya, dan ambil limau dari dalam gelas teh o ais limau aku. Sebelum aku sempat kata, perlakuannya mungkin tak haigenik, dia sedut limau itu hingga tinggal pulpanya saja. Kemudian dia kata, jom ke bilik I.

Kami masuk lif dan dia kata namanya Elle. L macam huruf? Tak, Elle macam majalah, dia cakap. Dia kata kosnya dua ratus. Aku ada tak dua ratus, dia tanya. Ada, aku kata.

Itu saja aku ingat. Bila aku terjaga, aku ada di dalam tab mandi yang penuh dengan ais, di dalam bilik yang aku tak kenal. Di atas siling dalam font besar-besar, tertulis, tunggu ambulans datang. Kemudian aku hilang kesedaran lagi.

Bila aku sedar sekali lagi, aku ada di sebuah di bilik di hospital. Terbaring dan berbalut macam mumia.

Seorang doktor masuk, dan dia kata padaku, minta maaf encik, jantung encik sudah hilang. Hilang, aku tanya.

Tapi kalau hilang macam mana saya boleh hidup. Begini, encik… Doktor tu nampak macam malu nak cakap. Cakaplah, aku kata pada dia. Cakaplah.

Begini encik, dia kata, jantung encik sudah tak ada bila encik sampai ke hospital. Itu yang kami tahu bila kami ambil x-ray encik. Tapi ada sesuatu yang menggantinya, yang buat encik masih terus hidup sampai
sekarang.

Apa dia, aku tanya lagi.Sebenarnya, di tempat jantung encik ada sebuah roda. Di dalam roda itu ada seekor hamster. Hamster tu berlari tak berhenti-henti, memusingkan roda itu, dan itu yang buat encik terus hidup.

Hamster, aku tanya sekali lagi. Ya, hamster, doktor tu cakap.

***

Jadi, aku kata pada dia, aku tak ada perasaan sebab, di tempat jantung aku ada hamster yang sedang berlari di dalam roda. Bukannya sebab aku seorang lelaki jahanam yang sengaja tak pedulikan dia. Ya, mungkin aku cuba berlaku curang padanya dengan pelacur bernama Elle, tapi itu tak bermakna aku tak ada perasaaan. Itu cuma bermakna aku seorang yang berkemungkinan curang.

Posted in: Uncategorized