>Sepetang di Amcorp Mall

Posted on Januari 27, 2009

4


>Encik.

Encik.

Aku toleh dan seorang Bangla berdiri di depan aku. Berkemeja putih, tangan kanan memegang nepsek hitam, tersenyum menyeringai seperti tertelan limau nipis.

Encik, dia kata sekali lagi.

Encik nampak seperti orang yang selalu kecewa dalam bercinta.

Aku tak cakap apa-apa.

Encik tahu tidak, semua manusia lahir dengan jantung berlubang.

Aku tak cakap apa-apa.

Maksud saya, berlubang dari segi metafora. Hanya selepas kita bertemu dengan solmet kita baharulah lubang dijantung kita diisi. Setelah bertemu dengan dia, baharulah kita menjadi lengkap.

Aku tak cakap apa-apa.

Tapi kadangkala kita sebagai manusia, akan terpesong. Kadangkala orang yang kita temui bukanlah solmet kita, tetapi kita masih menerima mereka, dan ada yang sampai mendirikan rumah tangga dengan mereka, meski di dalam hati kecil kita, kita tahu yang beliau tidak akan dapat mengisi lubang dijantung kita ini. Hubungan seperti ini, lambat laun akan berakhir dengan kekecewaan.Encik tentu sudah sedia maklum.

Kenapa, saya tanya Encik.

Aku tak cakap apa-apa.

Kerana mencari solmet bukanlah kerja yang mudah. Ia bukan sesuatu yang otomatik. Ia seperti jigso pazel. Kadang-kadang kita perlu pusing ia ke utara, ke barat, ke selatan, dan ke timur barulah kita dapat padanan yang sesuai untuk mengisi lubang di jantung kita. Kadangkala kita dapat jigso yang bukan kita punya. Atau yang tak muat langsung.

Dan dewasa ini dunia bergerak terlalu pantas. Acapkali kita tidak mempunyai masa untuk memadankan jigso pada pazelnya. Kita selalu tergesa mengkejar itu dan ini. Oleh yang demikian ramai yang terlepas benda paling berharga dalam hidup kita.

Tapi itu dulu. Teknologi moden sudah mentemui jawapan pada persoalan yang sangat rumit ini. Inilah jawapannya, Encik.

Bangla tu keluarkan sebuah kalkulator.

Aku tak cakap apa-apa.

Ini adalah sebuah kalkulator cinta. Dengan kalkulator ini peluang untuk Encik bertemu dengan solmet Encik meningkat empat ratus kali ganda. Senang saja. Bila bertemu dengan orang yang Encik rasa berkemungkinan menjadi solmet, Encik cuma perlu masukkan namanya ke dalam kalkulator ini, dan ia akan mengira kebarangkalian yang orang itu adalah orangnya.

Jadi, bagaimana, Encik? Sudahkah Encik bersedia untuk mengisi jantung encik yang berlubang itu? Atau apakah

Apakah Encik akan biarkan peluang ini berlalu pergi?

RM75.00 saja Encik. Kalau Encik beli sekarang, saya juga akan mencuci kereta Encik, dan memberi Encik hadiah spray kalis hujan ini (dia keluarkan tin spray hitam).

Bagaimana, Encik?

Posted in: Uncategorized