>Seorang Perempuan atau Lelaki yang Bersuara Perempuan yang Bermain Gitar di Sebuah Rumah yang DI Kerumuni Orang

Posted on Februari 8, 2009

1


>Semalam, berbasikal, singlet koyak di nipel, selipar Jepun sudah longlai, Ah Seng melintas di depan sebuah rumah. Dia nampak ramai orang berkerumun depan rumah tu, macam ada hari raya, atau orang mati. Dia mengayuh dekat rumah itu dan berhenti betul-betul di depannya. Orang ramai di rumah itu tak pedulikan dia. Dari dalam rumah itu keluar lagu yang dimainkan dengan gitar. Lagu itu dinyanyikan oleh seorang perempuan.

Atau seorang lelaki yang bersuara perempuan.

Ah Seng berfikir, wah, sedapnya suara perempuan atau lelaki bersuara perempuan ini. Ah Seng mengayuh basikalnya supaya lebih dekat dengan rumah itu. Wah, tak silap lagi. Suara perempuan atau lelaki bersuara perempuan ini amat sedap sekali. Ini suara yang akan menelusup dalam hati dan bikin kediaman dalam hati.

Ini suara yang sangat boleh dicintai.

Ah Seng tersenyum, dan kembali mengayuh basikalnya meninggalkan rumah yang dikerumuni orang itu. Ah Seng begitu gembira hari ini, kerana dalam tempoh tiga minit, dia dapat merasa keindahan cinta yang tidak diiringi dengan sakit hati, cemburu, amarah, benci, makan hati, gigit jari, telan racun rumpai, minum banyak-banyak todi sampai mabuk dan mati, gantung diri, berjalan di atas rel keretapi dan sebagainya. Ini cinta yang amat suci dan harus dihargai, fikir Ah Seng sambil bersiul-siul lagu yang dia dengari tadi.

Posted in: Uncategorized