>Di Hari Fatimah Comot Bawa Sayap Pari-Pari ke Sekolah (Work in Progress)

Posted on Mac 8, 2009

4


>

Tak ada siapa percaya Fatimah Comot dapat sayap pari-pari. Tak ada siapa. 
Awal pagi lagi, mereka sudah menunggu. Menunggu Fatimah, si budak comot dari dari suburban haram sebelah apartmen paling tinggi di Malaysia. 
Masing-masing yang menunggu anggap diri mereka lebih layak dapat sayap pari-pari. Eeva, Mishell, Iza Marlina, Nazri M Anuar, Zack dan Hadi Awang, budak-budak paling kaya di sekolah itu, berada di depan barisan di luar kelas Mawar 1, menunggu Fatimah; menyebarkan dakyah yang, tidak, tak siapa akan berikan budak comot miskin sayap pari-pari. 
Dari mula percaya, dan seronok, budak-budak lain mula rasa cuak kerana fikir ditipu oleh Fatimah Comot.
Hanya sebelum loceng berbunyi barulah Fatimah Comot muncul.
Tapi Fatimah muncul macam biasa. 
Comot, tanpa sayap.
Lalu cuak tadi, berubah menjadi amarah. Dan mereka ambil kerikil di tepi kelas dan mereka rejam Fatimah Comot, masing-masing menjerit, mana sayap pari pari pari pari pari pari pari tu?
Amarah jadi histeria. Kerikil jadi bata.
Hinggalah Fatimah Comot yang berlumuran darah menjerit, ini! dan keluarkan sepasang sayap sebesar tapak tangannya. Sungguh cantik dan halus, seperti disulam tangan-tangan paling genit di dunia.
Fatimah letakkan sayap itu atas kepalanya, seperti reben. Dan sayap itu mengepar, dan perlahan-lahan mengapungkan Fatimah.
Yang cuak dan amarah dan histeria kini menjadi pegun.
Fatimah naik semakin tinggi, hingga hampir menyentuh atap pejabar Guru Besar.
Hadi Awang yang mulakan dulu.
Bila mereka lihat kembali kejadian, yang pertama mereka ingat, ialah suara Hadi Awang.
Tinggi lagi, kata HAdi Awang, mulanya hesitan, tapi suaranya disambut korus yang berkumpul itu.
Tinggi lagi. Tinggi lagi. Tinggi lagi. Tinggi lagi. Tinggi lagi. Tinggi lagi.
Dan Fatimah pun melayang makin tinggi dan makin tinggi dan makin tinggi hinggalah dia hanya satu titik di langit. Sorak sorai dari bawah seperti alunan ombak-ombak kecil yang lenyap sebelum sampai pantai.
Banyak spekulasi. Sangat banyak.Tapi teori yang paling popular ialah seperti Ikarus, sayap Fatimah Comot terbakar bila menghampiri matahari. 
Apapun kebenarannya, Fatimah Comot jatuh ke bumi, betul-betul di atas pevmen depan Kelas Mawar 1, dan kerana terlalu tinggi naiknya, yang tinggal dari Fatimah Comot, hanyalah tompokan di depan kelas itu. 
Satu tompokan yang comot.
Posted in: Uncategorized