>Hani Membalas Dendam (WIP)

Posted on Mac 30, 2009

1


>

Hani anak Dato’ Rahim sudah mula curiga.
Tiap malam waktu Hani tidur, dia syak, rohnya akan meninggalkannya. Tiap malam bila matanya katup, Hani syak, rohnya akan terbang meresap keluar dari badannya untuk ke Disneyland. 
Mulanya Hani boleh terima, bila dia rasa rohnya hanya sampai, say, ke Sungai Lembing atau Ayer Tawar saja. Tapi Disneyland?
Tanpa empunya diri?
Mulanya perasaan syak wasangka memang tak ada dalam diri Hani. Tapi bila setiap pagi dia boleh rasa manis kandi kapas di mulut, dan hangat badan seperti selepas dipeluk Mickey Mouse, Hani mula curiga.
Hani anak Dato’ Rahim memang sudah lama mahu ke Disneyland. Yang paling tinggi dalam munajat angannya ialah Disneyland di Amerika, sudah tentu. Dan di Eropah kedua, manakalan kalau terpaksa, kalau diletakkan pistol di kepala dan dipaksa pergi, mungkin Hani boleh gagahi pergi ke Disneyland Tokyo.
Malang sekali, sejak Dato’ Rahim berkahwin baru, Hani seperti dipenjara di rumahnya – bukan oleh papanya, tapi oleh mama palsunya yang masih 21. 
Jadi, bolehkah rohnya itu dimaafkan, acum Hani kepada Bearbear, anak bajang berbentuk beruang yang sangat dia sayangi. Tidak, Hani gelengkan kepalanya bagi pihak Bearbear. Tidak, kan Bearbear?
Jadi petang itu Hani layari internet ke laman Alongpukul.com dan mengupah beberapa orang Along untuk menyelesaikan masalah rohnya.
Malam itu, sebelum tidur Hani makan tiga biji ubat tidur, dan tertawa bersama dengan Bearbear. Hi hi hi, tawa Hani. Hi hi hi, tawa Hani bagi pihak Bearbear.
Malam itu, tepat jam satu, tiga orang lelaki berbadan besar, dengan muka  yang ditutup sarung kaki perempuan, dan berpistol setiap seorang, memecah masuk rumah Dato’Rahim. 
Posted in: Uncategorized