>Pasien no #15: Suzana Md Ariff

Posted on April 9, 2009

2


>

Kata Suzana, hidupnya dari waktu itu menjadi awan mendung: berat dan muram. Dia rasa seperti tidak disayangi. Dia rasa seperti hanya dia seorang dengan rambut kerinting sedangkan seluruh dunia telah menjalani rawatan teknik rebonding. 
Dia rasa hodoh. 
Dia rasa bodoh. 
Lalu dia capai beg tangan, dan mengambil segenggam pil dan dia telan kesemuanya. Serotoninnya mengganda. 
Matahari mula terbit, burung mula berkicau, dan dunia ini berwarna-warni.
* * *
Suzanna diam. Dia mahu aku marah macam semalam. Dia mahu aku lempar buku nota yang aku pegang ini ke dinding, bangun dan menghempas pintu. Tapi aku diamkan saja. Aku pura-pura berfikir dalam, tetapi sebenarnya aku sedang melukis. Di atas buku nota ini aku lukis gambar arnab.
Sepanjang cerita Suzanna aku dapat lukis empat ekor arnab. Bukanlah arnab yang paling sempurna di dalam dunia – aku bukan pelukis – tapi sekali imbas, ada esen arnab pada lukisan aku: telinga panjang runcing, gigi dua terjongong di hadapan, dan untuk lebih meyakinkan, aku lukis dua tiga batang lobak merah. Dan aku letak tajuk lukisan ini:
Arnab makan lobak.
“En Amran?”
“Ya.”
“Apa masalah saya agaknya?” Suaranya seperti gerigis.
“Sebenarnya Suzanna,” Dia yang tadi berbaring, bangkit dan duduk di atas chaise lounge di sebelah aku itu. Kononnya dia berminat.
“Sebenarnya Suzanna, awak tak wujud.”
Dia melihat aku, seringainya menakutkan.
“Bila saya tutup mata, awak akan hilang. Lenyap dari pandangan dan hilang dalam pusar akal saya. Segala-gala kewujudan dalam dunia ini adalah khalayan saya. Pejabat ini, buku nota ini, awak. Semuanya.”
“Atau mungkin,” katanya, “awak yang tak wujud En Amran. Mungkin bila saya tutup mata, En Amran yang akan lenyap dari pandangan dan hilang dalam pusar akal saya.”
Ada benarnya kata Suzanna tu, aku fikir. 
Lalu kami di situ, seperti dua orang koboi yang mahu berlawan tembak.
Siapa yang mahu tutup mata dulu?
Posted in: Uncategorized