>FAQ Sang Freud Press ver 1.0

Posted on April 17, 2009

0


>1. Sang Freud Press? Jadah apanya tu setan?

Sang Freud Press adalah sebuah rumah penerbitan tak rasmi. Menerbitkan fiksyen, bukan fiksyen dan puisi dalam Bahasa Melayu saja.

2. Apa Jenis fiksyen yang SFP terbitkan?

Fiksyen frinjan atau terpinggir, yakni yang takkan disiarkan dalam media arus perdana. Fokus fiksyen SFP waktu ini, ialah cerita pendek. Tapi kalau ada novel yang bersesuaian pasti boleh dipertimbangkan. Setakat ini SFP sudah terbitkan 2 koleksi cerpen, Kasut Biru Rubina oleh Sufian Abas, dan Dua Lauk oleh Taf Teh dan D’ianadi. Tahun ini SFP merancang untuk mengeluarkan dua lagi judul. Insyaallah.

3. Apa jenis puisi yang SFP terbitkan?

Yang tak bermula dengan “Ramadhan datang lagi…”, tiap Ramadhan. Puisi dari SFP datang dalam bentuk khusus, dan diberi nama yang hip: Puisi Poket, saiznya kecil, muat dalam kocek dan sangat kacip digunakan sebagai aksesori oleh pria dan wanita. Koleksi puisi pertama SFP ialah Akulah Perempuan Muda Itu tulisan Shaira Amira. Ia sedang dicetak di waktu ini. Tahun ini SFP merancang untuk menerbitkan 3 lagi puisi poket (Insyallah).

4. Apa jenis non-fiksi yang SFP terbitkan?

Waktu ini hanya sebuah buku dalam perancangan: Tontonfilem (nama belum dipersetujui), kritik filem oleh Fadli Al-Akiti. Buku ini dirancang untuk diterbitkan hujung tahun ini.

5. Mana Sang Freud Press dapat dana untuk penerbitan?

SFP mendapat dana dari pelacuran minda, yakni kerja kerja terjemahan dan pengiklanan.

Tapi SFP juga tidak menolak jika ada sumbangan yang diberi dari pihak yang prihatin, tidak kiralah dari segi wang atau tubuh badan.

6. Saya seorang penulis dan saya ingin sangat tahu tentang royalti yang saya akan terima (mereka yang alah matematik, sila palingkan kepala, kerana ia amat mengerikan).

Formula untuk royalti SFP: 50% daripada keuntungan tolak modal. Maksudnya:

Andaikan modal: RM2000
Bilangan cetakan: 500
Setiap buah buku dijual dengan harga: RM20
Andaikan semua buku terjual*.
Jumlah jualan kasar: RM10000
Jadi Royalti adalah bersamaan dengan 10000
– 2000
——–
8000/50% = RM4000

Mudah, kan?

*Caveat: Tapi ini tak mengambil kira peratusan yang diambil pengedar dan kedai buku.

7. Apakah penulis perlu menyumbang apa-apa dana?

Tidak. Penulis cuma perlu goyang kaki, dan wang serta kemahsyuran akan datang mencurah-curah.

8. Apa yang SFP buat dengan keuntungan itu? Maksud saya, apakah ia digunakan untuk tujuan menaja teroris, umpamanya?

Keuntungan SFP biasanya digunakan untuk cetakan semula buku, cetakan buku lain, permainan PS3, atau sashimi salmon belly untuk kawan-kawan. SFP mengamalkan sikap tiada rundingan dengan teroris.

9. Saya mahu menulis untuk SFP!

Layangkan emel ke dvinecomedy [at] hotmail [dot] com. Tapi ingat, emel anda mungkin tidak dilayan, kerana biasanya penulis SFP dijemput secara peribadi untuk menulis untuk SFP.

10. Saya mahu menyumbang untuk SFP kerana SAYA PERCAYA!

Layangkan emel ke dvinecomedy [at] hotmail [dot] com.

11. Di mana boleh saya perolehi buku-buku SFP?

Di semua toko-toko buku besar seluruh negara, Insyaallah. Sila bertanya pada adik-adik atau abang-abang di kaunter atau yang sedang berkeliaran kalau tak jumpa. Atau anda boleh beli terus daripada SFP di alamat (cuba teka!) dvinecomedy [at] hotmail [dot] com.

Posted in: Uncategorized