>Cik Alina dan Sebuah Kapal Terbang Kertas WIP 0.5

Posted on April 21, 2009

6


>Ia jatuh nekad di atas kepala Cik Alina, kapal terbang kertas itu. Kertas putih mulus, dengan carik-carik, barangkali dari pagutan burung yang terbang terbalik, bila diurai, di dada kapal terbang kertas itu tertulis

“AKu Cinta Kamu.”

Kamu itu aku, fikir Cik Alina, atau kamu itu seorang gadis bertuah yang sepatutnya ditakdirkan bercinta dengan pencipta kapal terbang kertas yang misterius, tapi ia terbabas dan memagut kepala aku?

Cik Alina tak pernah optimistik kerana hari-harinya selalu berawan mendung dan hujan. Dan dia selalu terlupa membawa payung.

Cik Alina cuba berfantasi yang indah-indah, tapi malang sekali dalam fantasinya juga hujan tetap turun dan dia tak membawa payung.

Lalu Cik Alina melakar satu sumpahan yang paling keji dan melontar kembali kapal terbang kertas ke langit.

Pergilah, kata CIk Alina dalam hatinya, pergilah kau kepada pemilikmu bersama dengan sumpah-sumpah aku kerana dia tak mahu bercinta dengan aku.

Dan Cik Alina pun berlalu dari tapak itu.

Di sebuah kondo mewah seorang lelaki yang terlalu sangat kacak, berambut Eric Estrada, berkumis Tom Selleck, dan bertubuh sasa seperti Fahrin Ahmad (wtf?) menyambut kapal terbang yang kembali padanya, dan membukanya dengan cermat dan hati ria.

Sesudah membaca apa yang tertulis di dada kapal terbang kertas itu, maka meletus terbakarlah dalamannya (combust internally?) bersama dengan kondo mewahnya hingga sudahnya segalanya menjadi abu-debu dan suatu hari nanti, di masa depan yang jauh akan datang, robot-robot yang kini menguasai dunia meninggalkan sebuah piagam dan tugu yang tertulis:

“Di sini matinya seorang pencinta agung.”

Di waktu itu, selang beberapa batu jauhnya dari tempat kejadian, hujan mula turun di atas kepala Cik Alina, dan celaka, dia tak membawa payung lagi.

Posted in: Uncategorized