>Belon Bernama Ahmad (WIP)

Posted on April 27, 2009

2


>Angin yang kuat, dan jari-jemari kecil yang memegangnya terlepas, lalu Belon itu pun terbang ke angkasa. Semakin sayup ia dengar, raung anak kecil yang baru tadi saja menjadi pemiliknya.

Hanya setelah ia begeser dengan awan gemawan, barulah ia dapat kesedaran, dan mengikut hukum cogito Descartes, kesedaran ini bukti kewujudannya.

Tapi, makhluk apa yang puas menjadi sekadar satu kog dalam mesin, menjadi lebah anonimus yang membawa madu? Fikir Ahmad secara telepati, kerana belon tiada mulut, lalu ia tak boleh bersoliloki.

Namaku Ahmad, isytihar dia yang kini bernama Ahmad. Aku Belon (juga satu pengisytiharan).

Soalan paling penting dari Heidegger. Kenapa kita wujud dan bukan tak wujud?

Ahmad si belon, terpana dengan pertanyaan ini. Aliran hidrogen dalam tubuhnya menjadi rusuh. Kenapa aku wujud, fikir Ahmad berkali-kali.

Apakah hanya untuk menunai nafsu kaprisyes seorang perempuan mini yang masih belum matang dan mudah dikabur benda yang memikat mata?

Kenapa begitu santai sebab kewujudanku, dan begitu… begitu…. ahhhhhhhhhh. Ahmad mula marah. Dan kenapa tidak, kita semua mahu kehidupan epik, di mana kita adalah Akilis, atau paling cipan, Hektor. Mengetahui yang kita hanyalah si dungu tempang yang dipersenda Odisius, yang tiada siapa ingat namanya termasuklah penulis kurang ajar ini – siapa tak marah?

Lalu Ahmad mengolek-olek dirinya, mengemudi mencari bekas pemiliknya – si perempuan mini yang menangis tadi.

Pilihan terbaik adalah membunuh diri, fikir Ahmad. Dan aku takkan ke barzakh seorang!

Tapi sebelum dia sempat sampai dan melunaskan dendamnya (bagaimana, bodoh, kau belon!) seekor gagak yang terbang lalu, secara kasual, dan langsung tanpa rasa malis, memagutnya dan pop!

Posted in: Uncategorized