>Kisah dan Tauladan (draft 0.1)

Posted on Mei 13, 2009

1


>Alhamdullilah, fikir abdullah. Di dalam longkang ada sepuntung cinta yang tak habis, dibuang begitu saja.

Bertuah sungguh, fikir Abdullah. Bertuah sampai boleh buang puntung cinta yang tak habis. Abdullah capai puntung itu, sukar sedikit kerana hampir dia terpaksa meniarap dan mendepakan tangannya ke dalam longkang yang dalam itu, dan mengambil puntung cinta yang sudah hamis, dan bersalut entah apa, tahi tikus, atau telur lipas – tapi Abdullah tak peduli.

Dengan jarinya, dan dengan cermat dia kuis bendasing yang bersalut pada puntung itu, dan dengan tangan yang masih menggeletar, dia menyalakan lighter dan membakar puntung yang masih tinggal separuh itu.

Abdullah menarik dalam-dalam, asap-asap cinta itu, menguja serotonin dan membakar perasaannya – dia sudah hampir lupa betapa nikmatinya cinta – sejak Seripah pergi dengan diiringi lagu Search, Abdullah rasa seperti takkan dapat merasa lagi nikmati cinta – tapi entah sabut apa yang untung hari ini…

Tapi.

Tapi.

Rupa-rupanya nikmat puntung cinta yang dirasai Abdullah sebentar saja. Rusuh nikmat itu sekelip mata berubah menjadi azab yang tak tertanggung. Hati dan jantungnya terasa seakan ditusuk beribu-ribu pisau kerdil yang tumpul dan dipegang seorang katik – Neraka cinta apa ni agaknya, fikir Abdullah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir….

…dan begitulah anak-anak, kisah dan tauladan untuk hari ini, kata Kak Anne. Jadi, lain kali, kalau jumpa puntung cinta di dalam longkang, di tepi jalan…

“Jangan Kutip!” korus anak-anak di dalam kelas itu menyahut.

Kak Anne memandang seorang demi seorang dari mereka. Mereka semua tunduk, tak seorang pun berani membalas pandangan Kak Anne. Kak Anne tahu, dan budak-budak itu pun tahu, kalau mereka jumpa puntung cinta di tepi jalan, pasti! Pasti mereka akan mengutipnya.

Pasti.

Kak Anne merenung keluar tingkap memerhati langit biru yang semakin terang, tapi langit itu tak memberikan sebarang jawapan.

Langit tak pernah beri jawapan.

Posted in: Uncategorized