>Cerita Cinta yang aku tulis. Harap2 tak kena rejeklah

Posted on Mei 18, 2009

5


>Aku bangun hari tu, hari Isnin dan dapati hati aku sudah dicuri.

Celaka.

Aku boleh agak siapa yang mencuri hatiku itu. Kenapa aku lalai sangat?

Biasanya aku jaga hati aku baik-baik. Tiap kali pulang ke rumah aku akan simpannya dia dalam peti besi dan kuncinya rapat-rapat. Tapi hari tu Maisarah dan suaminya datang untuk minum-makan-bersantai, dan aku tak boleh tidak rasa terdorong mahu tunjukkan pada mereka hatiku yang tak pernah dicuri itu.

Nah, ini rupanya hati yang tak pernah disentuh tangan lain, aku kata, bangga menunjukkan hatiku yang berkilat-kilat dan masih dalam pembalut plastiknya. Suami Maisarah, Danial, macam tak peduli, tapi aku tahu dia cemburu. Maisarah pula, bila aku fikir sekali lagi, ya, memang itu nafsu yang membara di matanya.

Celaka.

Memang sudah nyata. Yang mencuri hatiku itu Maisarah, isteri si Daniel.

Perempuan celaka.

Apa harus aku buat?

Mula-mula aku fikir mahu telefon saja Maisarah dan mendesak dia beri kembali hatiku itu. Tapi aku agak, dia takkan berikannya begitu saja. Aku perlukan sesuatu untuk dijadikan umpan. Aku perlu bling-bling yang berkilauan yang boleh menggoda perempuan macam Maisarah.

Aku perlu permata. Wang Ringgit. Atau kereta mewah.

Celaka.

Kerana yang aku ada hanyalah sekampit besar yang sudah dihurung bubuk dan sepaket mee goreng segera.

Celaka.

Lama aku duduk di bibir katil, memikirkan dilema aku ini. Agak lama, kerana bila aku disedarkan oleh ketukan di pintu, matahari sudah condong dan hampir terhempas di horizon. Langit siang sudah usai.

Perlahan-lahan aku bangun dan aku buka pintu.

Dan, celaka.

Siapa di depanku kalau bukan Maisarah!

Aku mahu cakap sesuatu. Aku mahu sumpah seranah perempuan ini. Tapi lidahku kelu. Tanganku dibahasi peluh. Dan jantungku berdegup dag-dig-dug.

Ini, kata Maisarah. Ini hati awak. Saya tak sengaja ambil. Saya agak ia terjatuh dalam beg tangan saya yang besar ini [menunjukkan beg tangannya yang, ya, memang besar].

Aku ambil hatiku itu dan Maisarah pun berlalu pergi.

Aku lihat dia hilang di balik kereta yang lalu lalang.

Celaka, aku fikir, sambil memegang hatiku itu, yang aku lihat sudah tercalar. Sedikit saja calarnya, tapi masih tercalar.

Celaka.

Posted in: Uncategorized