>Cerita Sai-Fai yang aku tulis. Plis plis plis janganlah rejek

Posted on Mei 19, 2009

1


>Gadis dari Tompokan Roshak
———————————–

Supardi mengeluh. Supardi mengeluh panjang. Supardi tak sangka sampai macam ini boleh terjadi.

Dia cuma mahu pulang kerja dengan aman…

Semalam, sewaktu pulang dari rumah – runsing, sepi dan sangat-sangat resah – Supardi ditahan seorang lelaki yang berpakaian serba hitam. Kata lelaki itu,

‘Abang resah? Abang runsing? Tak ada orang menunggu di rumah? Malam-malam begitu panjang? Bangun subuh rasa gelisah?’

Bila diteliti, Supardi sedar, ada yang tak kena dengan lelaki itu. Dia tak boleh nak pakukan imej lelaki itu dalam pandangnya. Lelaki itu seperti gambar di dalam gelap yang diambil dengan ISO rendah. Kabur. Lelaki itu kabur.

Spem hologram lagi, fikir Supardi. Lagi sekali, fikir Supardi. Celaka mana yang sebarkan nama aku pada syarikat spem. Supardi tahu, sampailah dia ke rumah barulah hologram itu akan hilang. Celaka sungguh hari kerajaan luluskan Cip Pengenalan dalam badan tiap manusia.

Lalu Supardi terus berjalan.

Hologram serba hitam itu menurutinya, mulutnya tak berhenti bercakap, menjual itu dan ini. Tapi yang Supardi dengar hanyalah bla bla bla bla bla hinggalah di kilometer ke-3 bila dia mendengar bla bla-bla bla gadis idaman bla bla bla.

Dan Supardi pun terhenti.

Seperti singa menerkam tupai yang tergamam melihat kacang di bawah pokok, hologram itu menerkam mangsanya,

‘Ya, abang. Ini kaedah baru untuk dapatkan Gadis Idaman abang’

Supardi mendengar dengan teliti.

‘Tak perlu bayaran selama 30 hari.’ Entah dari mana muncul sebuah buku. Buku tu terapung di depan Supardi.

‘Pilih abang. Pilih yang mana satu yang abang berkenan.’

Supardi meneliti buku terapung tu. Tiap helai ada tompokan-tompokan umpama tompokan Roshak. Dia rasa amat tertarik dengan tompokan-tompokan itu. Entah kenapa. Ada seperti rasa erotik, yang menjalar dari ubun-ubun kepalanya, dan melingar-lingkar lesu di seluruh tubuhnya, seperti aliran elektrik yang malas.

‘Macamana nak pilih,’ tanya Supardi. Suaranya seperti di awangan juga. Supardi seperti terpukau dek tompokan-tompokan itu.

‘Abang akan tahu sendiri,” kata hologram itu. Mustahil, fikir Supardi, tapi aku dapat rasa yang hologram itu sedang tersenyum.

Satu tompok, yang seakan-akan burung Rajawali menyerang seekor arnab tempang, buat Supardi rasa luar biasa cengkamannya.Seluruh tubuhnya rasa kejap, dan tegang, dan seperti ada sesuatu yang perlu dilepaskan.

‘Yang itu,’ suara Supardi hampir tak keluar. Setiap iota tubuhnya merusuh melawan fikirannya.

Hologram itu mengangguk lalu ia bercakap sendiri, entah formula apa, Supardi tak tahu. Entah berapa lama, Supardi tak tahu, hinggalah ada suara, yang berkata,

‘Masukkan kad kredit abang di sini’

Selesai sudah transaksi itu, Supardi berjalan pulang.

‘Di rumah abang nanti,’ kata si hologram sebentar tadi. ‘Di rumah abang nanti, Gadis Idaman Abang akan menunggu’.

‘Bagaimana,’ fikir Supardi, ‘Bagaimana agaknya rupa gadis idamanku itu.’ Dirinya yang tadi lemah, merasa seperti disuntik tenaga baru. Ada burung-burung bernyanyi, sumpah, itu yang Supardi dengar. Matahari yang tadi semakin usai, seperti memancar terang menghalau langit mendung.

Segalanya ceria seperti iklan syampu.

Dua puluh minit kemudian, Supardi sampai ke apartmennya. Tubuhnya sudah mengeletar dek suntikan serotonin yang berlebihan. Mahu rasanya dia berlari naik tangga ke tingkat lapan belas daripada menunggu lif yang maha lembap ini!

Di depan pintu Supardi berdiri, takut untuk melangkah masuk. Bagaimana, fikir Supardi, kalau apa yang ada di rumahnya ialah seorang perempuan gemuk? Bagaimana kalau bila dibuka pintu, yang menyambutnya seorang dwaf tempang bermata sebelah? Dan dwaf itu androginus? Dan bagaimana kalau…

Bagaimana kalau…

Bagaimana kalau aku menyukainya?

Supardi mengeluh. Supardi mengeluh panjang. Supardi tak sangka sampai macam ini boleh terjadi.

Dia cuma mahu pulang kerja dengan aman….

Posted in: Uncategorized