>Cerita Fantasi yang Aku Tulis… mesti kena rejek ni… apalah..nak hulur cakaplah…

Posted on Mei 26, 2009

2


>erdiri di depan pasukan pemanah diraja, terikat pada tiang yang marmar, menunggu anak-anak panah menembus tubuhnya, Nizar tiba-tiba teringat waktu pertama kali ayahnya menunjukkan padanya ais kacang.

Datang dari kampung, yang masih menggunakan pelita karbaid, itulah pertama kalinya dia mellihat air beku, dan usaha manusia untuk menjadikan alam ini benda yang boleh mereka baham.

Tak pernah Nizar terbayangkan begini hidupnya akan berakhir.

Hanya setahun lepas, dia masih lagi mengikut ayahnya berkebun, bila, tersilap jalan, mengambil lorong ke rumah Tok Siak, dia langsung hilang dari kampungnya dan tiba di sebuah… tempat lain. Nizar masih ingat, hampir suku putaran matahari dia berjalan, sebelum dia temui pemandangan ganjil itu: seekor kuda putih, menjilat-jilat bangkai seorang lelaki lengkap berpakaian panglima (dan masih berbau limau kasturi, dia berani bersumpah).

Entah apa yang merasuknya waktu itu, dia seperti terdorong untuk menggantikan pakaiannya yang lusuh rabak itu dengan pakaian si bangkai itu. Dan apa yang membuatnya untuk menunggang kuda itu, menuruti destini si bangkai lelaki yang kini bogel itu.

Nizar sendiri tak tahu. Kadangkala dia rasa seperti boneka takdir yang dimainkan ke kiri dan ke kanan tanpa rela. Tapi hakikatnya, kuda putih itu membawa dia ke sebuah istana yang maha besar, yang hampir tenggelam diselimuti belukar.

Di situ juga dia ditahan dua makhluk aneh, kedua-duanya bertombak, dan dalam bahasa yang waktu itu dia tak fahami, mereka meminta pengenalan dirinya.

Nizar teringat, rasa panik dirinya, meraba-raba kocek itu dan ini, bila dari tanjaknya, jatuh satu kad yang tertulis:

Nama: sang Putera Kacak
Pekerjaan: Mencari Puteri untuk Dikahwini
No Pendaftaran: 03-33933725

Kad jatuh, dan jatuh terus ke tangan dua makhluk aneh itu, dan mereka menilitinya buat seminit sebelum menyerahkan kad itu kembali padanya dan berlalu dari situ dan hilang dari cerita ini.

Sekuen peristiwa yang berlaku seperti trailer sebuah filem dongen pari-pari:

Dia masuk ke dalam istana lusuh itu. Dia bertemu seorang puteri yang maha cantik yang sedang beradu lena dia atas katil yang tak terhingga mewahnya. Diciumnya bibir puteri itu. Puteri itu terjaga dan terus jatuh cinta padanya. Dan segala yang lusuh datri istana itu hilang tiba-tiba, dan yang tinggal kegemilangan sebuah kerajaan seperti dalam cerita dongeng. Nizar dan puteri itu berkahwin, dan seharusnya mereka akan hidup bahagia, abadi selama-lamanya.

Itulah yang seharusnya berlaku, fikir Nizar.

Tapi hari ini, dia terikat di sebatang tiang, menunggu pasukan pemanah diraja membidik tubuhnya. Dan dia pula teringat di satu kala itu, bila ayahnya membawanya melihat ais kacang.

Apa yang berlaku di antara dua babak itu?

Posted in: Uncategorized