>Duka si Nestapa, Itik yang Comel (Sebuah cerita pari-pari untuk anak-anak yang tak mahu mandi)

Posted on Jun 3, 2009

6


>Nestapa, sang itik yang comel, berjalan terkedek-kedek pulang dari pasar membawa bakul penuh dengan sayur-sayuran. Sampai ke jambatan berhampiran woksyop Pak Malau Kajang Berlipat, Nestapa terlihat seekor serigala yang maha besar dan maha garang sedang bersantai malas betul-betul di tengah jambatan itu.

Di kelilingnya tulang-temulang banyak jenis binatang: ada tulang kuda belang, yang tersesat dari savannah, ada tulang kerbau yang baru lepas melanggar pagar, ada tulang kucing yang masih tinggal ekor gebunya, ada tulang merpati yang patah cinta, ada tulang ayam serama yang sesat jalan, ada tulang ikan salmon, yang tak sempat menjadi sashimi, ada tulang Ning Baizura, pelbagai jenis lagi tulang haiwan yang eksotik, separa-eksotik, dan tidak esotik langsung.

Serigala yang maha garang itu sedang menyedut dan menghembus sepuntung rokok, dan kelihatan sangat puas, seperti dunia ini tiramnya, dan dalam tiram itu ada biji-biji mutiara yang sudah matang dan amat berharga.

Nestapa mahu lari, tapi dirinya sudah dikekang mata bernafsu sang serigala yang maha garang-dan maha ganas itu. Jadi, mahu tidak mahu, dia melangkah perlahan-lahan ke arah jambatan itu.

Sesampai dia ke bibir jambatan itu, yang kini sudah tidak lagi mungil dan mengghairahkan, halwa telinga Nestapa dikejutkan oleh bunyi yang amat menggerunkan.

‘Hai Nestapa.’ Kata suara yang menggerunkan itu.

Nestapa hanya menelan air liur.

‘Balik dari pasar Nestapa?’ Sambung suara itu, menyatakan apa yang sudah jelas pada sesiapa yang ada mata.

Nestapa diam lagi.

‘Apa yang kamu beli Nestapa?’

Dengan kepak yang terketar-ketar, Nestapa keluarkan sayur-sayur yang dia beli. Satu demi satu. Ada sayur bayam. Ada sayur kangsung. Ada seleri. Ada kacang buncis.

‘Banyak kamu membeli-belah, Nestapa.’

Nestapa hanya angguk.

‘Kamu ada kenduri ke Nestapa?’

Nestapa menggeleng-geleng kepalanya hingga hampir terputus urat lehernya.

‘Kamu jangan menipu Nestapa. Kamu ada kenduri, dan kamu tak jemput aku, Nestapa.’

Nestapa terus menggeleng dengan ganas.

‘Lancang sungguh sikap kamu nestapa. Kamu kencing atas kasut aku dan kamu kata itu air hujan rahmat, ya?’

Nestapa terus menggeleng.

‘Kamu tahu apa aku buat dengan orang yang bersikap lancang, Nestapa?’

Sang serigala yang maha garang itu bangun perlahan-lahan dari kerusi santainya.

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized