>Cinta Itu Langgar Lari

Posted on Jun 6, 2009

4


>Ismadi dilanggar dan jatuh cinta pada hari yang sama.

Bukanlah sesuatu yang pelik. Kerana kedua-duanya berkaitan. Ismadi jatuh cinta pada pemandu kereta yang melanggarnya (dan kemudian lari).

Hari itu hari Isnin, dan jiwa Ismadi tenang. Pagi bermula dengan kicauan trafik. Jerit pekik, ibu dan anak yang bersiap ke sekolah. Dan langit yang sangat cerah hingga mungkin, kalau kita kecilkan apertur mata, kita mungkin akan nampak sampai ke infiniti.

Ismadi bangun pagi hari tu. Ada temuduga kerja, setelah 3 bulan menganggur. Bersiap kemas dengan tali leher, segala kertas dan testimoni yang relevan di dalam fail.

Tiada apa yang luar biasa tentang hidupnya setakat ini.

Selesai minum kopi, yang mungkin sedikit pahit, tapi whateverlah, Ismadi turun perlahan-lahan dari apartmen lima tingkatnya. Dia masih awal. Tak perlu tergesa-gesa hingga berpeluh celah ketiak dan mengeluarkan odor yang tak menyenangkan.

Tempat temuduga Ismadi tak jauh. Mungkin… satu kilometer dari rumahnya? Atau mungkin lebih sedikit. Tak cukup jauh untuk berbaloi naik teksi, atau bas. Lalu Ismail putuskan untuk berjalan saja.

Waktu itu cinta adalah perkara yang terakhir di kepala Ismadi.

Dan mungkin kerana itulah, kerana tak mendengar ramalan kaji cinta (hi hi) pagi itu, Ismadi dilanggar sebuah kereta dan jatuh cinta tanpa dia sempat bersedia.

Yang Ismadi ingat cuma satu. Bayang-bayang seorang perempuan berkebaya dari balik cermin 70% tint. Dia terkilas bayang itu sedang dirinya melambung tinggi dilanggar kereta perempuan itu. Kemudian tubuh Ismadi jatuh bersama dengan hatinya (Aduh).

Sedar-sedar, dia di dalam hospital, di kelilingi beberapa orang doktor yang sedang teruja tentang sesuatu.

Yang diingat Ismadi, waktu itu, sebelum dia pengsan kembali ialah ‘Tahniah’, dan dia kembali ke dalam lubuk ketidaksedaran, dan nousnya hilang dengan satu pertanyaan, ‘Tahniah kerana dilanggar kereta? Pelik sungguh sikap doktor di sini.’

Apa yang Ismadi tak tahu, dan hanya akan tahu keesokkan harinya bila dia sudah sedar sepenihnya ialah dia hanya sedar kembali selepas 10 (sepuluh saja) tahun koma.

Tapi bila maklumat itu sudah ada, cuma satu saja jawapan yang dia mahu tahu: bagaimana dia mahu bertemu perempuan berkebaya yang melanggarnya sepuluh tahun lalu?

(Bersambung)

Posted in: Uncategorized