>Envelop Cinta untuk Qasih

Posted on Jun 7, 2009

6


>Qasih dapat envelop itu awal pagi tadi. Berukuran 9×6. Warna putih. Di depannya tertulis ‘CINTA UNTUK QASiH’.Qasih memang menyangka akan dapat sesuatu. Tapi envelop cinta untuk dirinya adalah mungkin nombor #114 dalam senarainya (yang # 1 ialah Airil dalam pakaian harijadi dengan reben warna merah di situ)

Dua puluh tiga, berperawakan menarik, berbintang Leo (Kegemaran: membaca dan mengumpul stem), hidup Qasih terlalu ordinari. Bangun pagi sarapan pergi kerja rehat pulang kerja makan malam tidur (ya, dan solat di antaranya tidak pernah dilupakan, wahai pembaca budiman). Qasih hidup kerana momentum, dan bukan atas kehendak dirinya lagi.

Kadang-kadang dia rasa seperti bola pinball, yang menunggu saat lolos dalam lubang.

Selalunya dia rasa begini bila di dalam kereta, tatkala manusia pagi, seperti korus dalam tragedi Yunani, dalam harmoni menyumpah apa yang di depan mereka, yang memperlahankan kereta mereka dalam perjalanan pergi kerja.

Lalu berlaku satu hari itu.

Di kaki lima dekat pejabatnya, sebelum dia melangkah lapan belas anak tangga naik ke neraka sisifusnya, dia ditegur seorang perempuan tua. Perempuan tua itu duduk di kaki lima, di depannya gebar, atau tikar atau entah apa, melapik keropok yang dia jual.

‘Keropok, nak.’

Qasih, sebelum ini, sebagai anggota kaum urban yang moden, tidak pernah melayan bahan-bahan segera dari jalan. Tidak kiralah kalau ia keropok, jam tangan, parfum, atau apa saja, asal ia dari jalan, tentu Qasih takkan melayan.

‘Tak haigenik,’ kata Qasih seperti kakak tua mengulang pengetahuan yang entah benar, entah tidak yang dikongsi kolektif kaumnya. Dapi jauh di sudut hati kecil comelnya (semasa kecil, datuknya pernah menggelarnya si hati comel tapi dia pun sudah lupa kenapa), Qasih kadangkala terasa mahu mencuba sajian di jalan itu. Mungkin kerana naluri manusia yang suka memegang api biar tahu ia hangat dan membakar.

Jadi, kali itu, nalurinya seperti tak tertahan mendorong dia membeli sebungkus keropok, yang cepat-cepat disembunyikan dalam tas tangan besarnya.

Di waktu rehat hari itu, Qasih menolak semua pelawaan makan tengahari, meski dari Airil lelaki yang buat hatinya mahu pop pop pop bila dia lalu di depan kubikel Qasih. Qasih masih belum dapat memafkan Airil yang berkata ‘I rasa you macam kakak I’. Mahu saja Qasih jawab ‘Baguslah. I suka sumbang mahram’, tapi didiamkan pedih hatinya itu.

Qasih buka perlahan-lahan bungkusan itu. Di dalamnya ada satu gumpalan kertas kecil (yang diletak di tepi mug PAKATAN RAKYAT BOHONGnya), dan keropok-keropok yang…

sungguh dajjal rasanya.

Itu yang Qasih rasa. Kalau dajjal itu dibungkus, dan dijual seperti keropok, inilah agaknya rasanya.

Kecewa, mata Qasih tertancap ke arah gumpalan kertas kecil itu. Dia buka gumpalan itu, cermat-cermat, perlahan-lahan dan di atasnya tertulis:

“Tahniah Qasih, kamu telah menang 1 (satu) Cinta”

* * *

Lalu kita kembali ke hari ini, dengan Qasih dan envelop cintanya. Perlahan-lahan, tapi cermat Qasih membuka envelop itu dan yang ditemuinya:

Sehelai guntingan (cut-out) manusia. Lelaki. Berpakaian Baju Melayu lengkap, dengan songkok.

Sebelum Qasih boleh menyumpah nasibnya, guntingan itu bersuara, seperti animasi dulu-dulu. Guntingan itu berkata:

(bersambung)

Posted in: Uncategorized