>Siapa Yang Mahu Mengetuk Pintu Hatiku?

Posted on Jun 8, 2009

6


>’Doc,’ kata Awang kepada doktor yang sibuk menulis preskripsi untuk teman penagihnya yang cun. ‘Gua ada masalah.’ Doc Yusmadi, mengangkat kepalanya. ‘Sudah hampir lima tahun, tak ada siapa pun mengetuk pintu hati gua’. Doc Yusmadi mencarik kertas preskripsi dan menyerahkannya pada teman penagihnya yang cun.

Teman penagihnya yang cun melangkah pergi lalu keluar terus dari cerita dan hanya akan kembali di episod kedua.

‘Kalau macam tu…’ Doc Yusmadi termenung sejenak. Awang memandang kiri kanan. Langit mendung, macam biasa seperti mengisytiharkan kewujudannya dalam dunia. Meja-meja lain di gerai tu kosong, bersepah dengan bekas makanan tinggal.

Lalat menghurung.

Depresi mengancam.

‘Kalau macam tu…’ Doc Yusmadi menyambung, ‘gua kena bedah lu, beb.’

‘Malam ni boleh?’ Tanya Awang, cuba untuk tak berbunyi desperat. Doc Yusmadi mengangguk. ‘Tapi mahal sket.’ ‘Mahal berapa Doc? Gua bukan banyak sen.”Pasal lu member, gua kasik diskon istimewa. Lima belas ringgit.’

* * *

Kalau kita melihat penampilan Awang, kita mungkin tak sangka, lima tahun dulu, kekasihnya adalah seorang model kacukan Jerman. Larissa namanya. Ris, itu panggilan manja Awang padanya. Awang dulu tak selekeh macam hari ini, dan waktu tu dia main biola untuk kugiran kuasai-klasikal yang sekarang sangat top, Nikolas Van Kue (sempena nama filosuf itu, ya).

Tapi selepas Larissa tinggalkan Awang untuk penyanyi utama NVK, Awang langsung dibuang, dan kini merempat dan selekeh macam ni, bermain biola di majlis-majlis harijadi kanak-kanak. Selalunya bergandingan dengan Bibot, beruang tedi bersepatu merah jambu yang menari waltz.

[Nasib Bibot sebenarnya lebih tragis, dan tak perlulah kita panjang-panjangkan di sini, cuma cukuplah untuk kita katakan, wahai pembaca budiman, ‘Kalau Engkau Beruang Tedi, Jauhkan Diri Dari Api, Literal dan Simbolik’. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan Bibot, ya?]

* * *

Malam itu, setelah Awang dibius, Doc Yusmadi mengambil skalpel #3 dan mula memotong cermat-cermat. Lima belas minit dia bekerja, begitu teliti dan berkeyakinan, hinggalah dia sampai ke organ yang dicari-cari: Pintu Hati Awang. Pintu itu nampak kusam dan berlumut, tapi masih teguh. Jadi apa masalahnya, fikir Doc Yusmadi. Kenapa tiada siapa mahu mengetuk pintu hati kawanku ini?

Doc Yusmadi menyalakan lampu betul-betul di atas pintu itu, dan mengambil tukul #12. Tapi sebelum dia sempat berbuat apa-apa, Pintu Hati Awang terbuka dan satu suara yang halus tapi seksi keluar dari dalamnya.

‘Apa yang awak mahu buat tu?’

Dan dari Pintu Hati Awang itu keluar seorang perempuan mini. Tingginya dalam 12cm. Berperawakan menarik dan berbintang Leo wanita mini itu hobinya mengumpul stem dan membaca. Maklumat ini, Doc Yusmadi tahu dua jam kemudian selepas dia selesai bercumbuan dengan wanita itu.

Tapi waktu ini, yang nyata bagi Doc Yusmadi ialah, ini mungkin sebab mengapa Pintu Hati Awang tidak diketuk lagi.

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized