>Luka Lagi

Posted on Jun 9, 2009

2


>Pagi tadi, tika subuh menyinsing, melirik hari baru, dan awan-gemawan membelah, membuka ruang untuk matahari memancarkan sinar rahmatnya, Syamil rasa sayu, lalu terus menangis tatkala sedang menggosok giginya.

Sejak akhir-akhir ni, segalanya dalam dunia ni buat Syamil rasa seperti ulu jantungnya diiris-iris pisau berkarat. Segalanya buat Syamil rasa sayu. Dan mahu menangis.

Ia bermula dengan titisan air di sinki, Selasa lepas (hari ini hari Jumaat). Waktu itu Syamil baru pulang dari kerja. Syamil pulang awal kerana malam ini dia mahu menonton Terminator: Salvation (nota: sucks). Jadi dia mahu menyediakan dirinya dengan menonton 3 lagi filem Terminator lain. Tiba di filem kedua, dalam kacau bilau adegan lawan T-800 dan T-1000, Syamil terdengar dari ekor telinganya, satu bunyi:

Tik…Tik…Tik…Tik…

Dari dapur. Bunyi itu datang dari dapur. Dari sinki. Titisan air dari sinki.

Lalu Syamil bangun dan melangkah ke dapur. Dua tapak kemudian, Syamil rasa titisan itu umpama petikan piano Variasi Goldberg oleh Glenn Gould di kala hujan, di hening malam, tanpa ada orang meneman. Dan ini, buat dia rasa terlalu sayu, hingga di tapak ketiga, air mata mula mengalir di pipinya. Semakin deras dan semakin deras.

Dan dari waktu itu, air mata dan rasa sayu menjadi seperti satu infeksi. Segalanya dalam dunia ni buat Syamil rasa seperti ulu jantungnya diiris-iris pisau berkarat. Segalanya buat Syamil rasa sayu. Dan mahu menangis.

Buka pagar rumah untuk masukkan kereta: Menangis.

Membeli majalah fotografi kegemarannya di MPH: Menangis.

Makan Maggi goreng yang tak sedap di restoren mamak: Menangis.

Syamil syak dirinya sudah jatuh cinta. Tapi jatuh cinta dengan siapa? Bila? Lalu Syamil memutar ingatannya ke waktu sifar, yakni waktu dia mendengar titisan hujan itu (dan menangis) dan memulakan kaji selidiknya dari situ.

Ah! Baru Syamil teringat. Orang terakhir dia ketemu, ialah Qasih. Rakan sekubikelnya.Dua puluh tiga, berperawakan menarik, berbintang Leo (Kegemaran: membaca dan mengumpul stem).

Qasih… Syamil fikir.

Apakah aku…jatuh cinta…padamu…Qasih?

Masih terngiang-ngiang lagi konversasi mereka berdua di waktu itu.

‘Sih, gua nak balik cepat le. Nak tengok Terminator.’

‘Palat le lu. Habis tu sapa nak habiskan kerja ni, sial?’

‘Lu settle le. Boleh, lah.

‘Sori. Gua banyak kerja hari ni’

Sungguh tak romantik, fikir Syamil. Tapi tak semua mahligai cinta dibina atas bual-bual afrodite, Kan? Entah-entah Mumtaj dan Shah Jehan pun jatuh cinta masa beli minyak masak.

‘Lu silap, Mil’

Suara itu mengejutkan Syamil dari Qanun Keseksaan Seksyen 377C antara dia dan Qasih.

Syamil pandang kiri. Syamil pandang kanan.

‘Di depanlah, gemuk.’

Syamil pandang depan.

Sejenis… benda…. Berbadan seperti cengkerik, dan berkepala seperti budak.

‘Sebenarnya gua yang buat lu rasa sedih, pilu, dan mahu nangis-nangis.’

Cengkadak. Itu saja yang boleh Syamil fikirkan. Ini sejenis cengkadak.

‘Hai, nama gua Bob.’

‘Hai, kata Syamil. Nama gua Syamil.’

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized