>Memancing Astronot Ilham (WIP ver 01.)

Posted on Jun 11, 2009

4


>Matahari di ubun-ubun kepala, dan Salim, beroleng-oleng dalam sampannya, terpaku di depan seorang Astronot.

Katanya dia Astronot Ilham.

+ + +

Awal lagi, Salim sudah bangun, menyiapkan segala keperluan pancingnya. Dia mahu ke Tasik Batang Melukut, memancing. Tasik itu tak jauh dari rumahnya, mungkin dua belas batu, tapi Salim tahu dia perlu ke sana awal. Kalau tidak tentu habis sampan sewa. Kalau tidak habis sesak tasik. Sejak akhir-akhir ni, ramai sangat orang tahu tentang kewujudan Tasik Batang Melukut. Ramai orang tahu betapa banyaknya ikan di Tasik Batang Melukut.

Salim sudah lama memancing di Batang Melukut. Tapi dia pemancing yang mesra alam. Dia tangkap cukup-cukup untuk makan, dan kalau terlebih akan dibuang kembali dalam tasik. Meski begitu, Salim tahu, hobinya destruktif, dan lambat laun dia akan dapat balasan karma dari alam. Jadi tiap minggu dia kitar semula botol-botol, akhbar, puntung rokok, selipar buruk, beg plastik, topeng hantu, dan apa jua yang termampu dengan harapan semoga, satu masa nanti di masa depan, bila alam melampiaskan amarahnya, dia akan dimaafkan.

Malang sekali, orang ramai yang datang memancing di Batang Melukut, yang semuanya datang dengan pacuan 4 roda, dan kail lebih sejengkal, tak pernah peduli akan semua itu. Semuanya memancing dipandukan nafsu serakah. Malah, kadang-kala ada juga yang datang dengan pukat tunda! Ya!

Salim pernah cuba tahan mereka sekali, tapi habis dikeronyok hingga dua batang giginya hilang dan sampai sekarang dia masih berjalan terhencot-hencot seakan anjing yang cuba menahan kencingnya.

Akhirnya dia memilih untuk datang awal, dan pulang awal, mengelak dari bajingan-bajingan lain itu yang selalunya datang lewat, dan pulang lewat. Seperti keretapi mel malam, mereka berselisih, tapi tak akan bertemu.

+ + +

Terpesona Salim, dibuai angin sepoi-sepoi bahasa, dan awan gemawan yang bergerak lesu. Pancing ditangan, tapi kepalanya di udara. Inilah yang dicarinya. Bukan ikan, atau pergelutan dengan pancing, tapi waktu kosong antara ada tangkapan atau tidak. Waktu sifar di mana dunia umpama tidak disentuh tamadun lagi.

Di atas sampannya seekor Talapia* sederhana besar. Cuma seekor lagi, ikan, kata Salim, dan dia boleh pulang, lalu membotolkan memori hari ini dan menyimpannya dalam almari, untuk bekal hari tua nanti.

Salim mengangkat pancingnya, dan menghayun, tapi belum sampai lagi ke tasik, ia sudah tersangkut. Ia sudah tersangkut di awan! Ah! Kata Salim. Sudah tersangkut di awan pula. Salim menarik pancingnya perlahan-lahan, menarik awan itu cermat-cermat kerana tak mahu pancing terputus atau awan merekah: umpama tarik benang dalam tepung layaknya.

Tapi, bila awan itu sudah sampai ke parasnya, alangkah hairannya Salim bila melihat seorang Astronot berpakaian lengkap berdiri di atasnya bercekak pinggang.

Astronot itu melompat dari awannya, lalu naik ke atas sampan Salim, membuatnya bergoncang, dan nyaris lagi Salim hilang keseimbangan!

Astronot itu membuka keledarnya perlahan-lahan, dan ah! tersasar tekaan Salim, kerana rupa-supanya dia bukan seorang astronot, tapi seorang astronotwati! Dan Ya Tuhan, betapa mulus dan indahnya paras Astronot itu hingga membuatkan Salim terpana, dan tersipu-sipu laksana seekor monyet yang baru mencuri jambu.

Hai, kata astronotwati itu. Nama saya Nurhidayah. Saya astronot ilham.

[bersambung]

Posted in: Uncategorized