>Bintang Jatuh

Posted on Jun 12, 2009

0


>Minggu lepas, ketika sedang berbasikal riang pulang dari sawah, Asmawi nampak sebutir bintang jatuh dari langit terus ke atap Orang Kaya Deraman.

Biasanya, bila bintang jatuh di kampung W, semua orang akan datang berkumpul dan berkenduri, kerana ia membawa tuah pada sesiapa saja yang memilikinya, tapi kali ini seluruh kampung kaget kerana Orang Kaya Deraman seorang yang bakhil dan…

“Anti sosial” kata Wak Dol, penyair no 1 kampung itu. Wak Dol sudah berkira-kira kata, mahu membikin syair epik untuk peristiwa yang bakal mendatang.

Asmawi masih lagi berbasikal waktu ini.

Di hujung kampung W, keluarga miskin Ahmad Dhani yang sedang menyembelih tikus-tikus yang mereka tangkap beberapa jam tadi, tiba-tiba terhenti, dan memandang ke langit bila mereka nampak satu demi satu bintang jatuh ke atap Orang Kaya Deraman, tiap satunya diiringi letupan yang maha dahsyat.

Asmawi kini sudah sampai ke simpang kampung W, yang menjadi tapak epifani ramai warga Kampung W. Minggu lepas saja, En Aziz, guru besar sekolah rendah kampung W, tiba di simpang ini lalu terus, tanpa ada muzik latar, atau insiden dramatik, bergegas ke rumah Leha cantik untuk meminangnya menjadi isteri ke-4 beliau (peminangannya ditolak, syukurlah. Tapi malam tu, En Aziz dan Leha kahwin lari, er tak berapa syukurlah…). Tapi Asmawi yang berhenti seketika, untuk mengelap peluh jantan yang berputik di lehernya, tak merasa sentuhan apa-apa, iblis atau malaikat, lalu dia meneruskan perjalanannya.

Sesampai Asmawi di perkarangan rumah Orang Kaya Deraman, dilihatnya sudah ramai orang berkerumun di luar pagar. Dia terus menyelit-nyelit (dan di waktu yang sama menggesel-gesel, ow! tergesel Tok Siak pula!) orang ramai yang sudah berkumpul itu. Apa yang dia lihat adalah apa yang Aristotle panggil satu spektakel:

Orang Kaya Deraman, dengan sepucuk senapang patah di tangan, dan ditemani orang suruhannya, Hemsem Tom, sedang menembak bintang. Orang Kaya Deraman menembak, dan Hemsem Tom pula mengutip bintang-bintang yang bertaburan jatuh di dalam bakul yang sederhana besar.

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized