>Tragedi Bibot, Beruang Tedi Bersepatu Merah Jambu yang Pandai Menari

Posted on Jun 12, 2009

3


>”Anak-anak, mari dekat pada pakcik,” kata Mimos berwajah grotesk itu. Lili dan dan kawannya Surihani mendekat Mimos itu. Tapi tak terlalu dekat, kerana mereka ingat pesan ibu mereka: “Jangan kamu dekati orang miskin, kerana mereka kotor dan jahat.”

Lili dan Surihani berdiri beberapa tapak dari Mimos itu, di kaki lima tempat karnival burlesk itu sedang diadakan. Suasana rancak dan kacau, dan kalau Bakhtin ada di sini, pasti dia tersenyum puas.

“Anak-anak,” kata Mimos itu, memulakan cerita. “Pernah dengar tentang Bibot, si Beruang Tedi Bersepatu Merah Jambu yang pandai menari?”

“Tidak, pakcik miskin dan kotor.” Kata Lili. Dibandingkan dengan Surihani, Lili lebih berani. Surihani diam, dan cuma menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Anak-anak,” sambung Mimos itu lagi, meninggikan suaranya, kerana orkestra Grand Guignol sedang berlalu di belakang mereka sambil memainkan lagu asmara antara yang kudus dan yang kotor. “Bibot lahir di Peranchis. Lebih tepat lagi di Poiters, pada 15 Oktober, 1926. Bibot lahir dalam keadaan yang dhaif sekali, Kulitnya dibuat dari pelepah pohon palma terbuang, isi dalamnya, kekabu di kawasan pelupusan sampah. Yang ada padanya, yang bersinar pada dirinya hanyalah sepatunya. Yang berwarna Merah Jambu dan berkilat-kilat laksana bintang ke-7.”

“Jadi Bibot boleh cakap Peranchislah, pakcik?” Surihani tiba-tiba bersuara. Surihani, meski masih kecil, sudah memilih gaya hidup Frankofil; jadi segalanya yang Peranchis, akan buat matanya dua kali lebih bundar, dan kalau tidak dijaga, boleh buat air liurnya meleleh di tepi bibir.

“Boleh nak. Tapi Pakcik tak boleh, jadi pakcik terpaksa ceritakan dalam Bahasa Melayu.” Surihani, menjuihkan sedikit bibirnya. Nyata betul pesan ibu: orang miskin itu memang hina. Merde!

“Sewaktu kecil, Bibot hidup melarat. Ketika usianya 2 tahun, dia dikerah bekerja di tapak melombong arang oleh penciptanya. Bayangkanlah anak-anak, beruang tedi comel yang bersepatu merah, terpaksa membanting tulang di tapak melombong arang!”

Mata Lili dan Surihani sedikit bergenang, membayangkan hidup Bibot yang melarat itu. Tapi mereka tak menangis. Mereka perempuan yang kuat. Perempuan kuat tak menangis.

“Tapi betapa hitamnya arang – dan arang memang hitam, anak-anak – dan betapa sukarnya kerja Bibot, satu saja tidak berubah: Sepatu merah jambunya tidak pernah hilang kilatnya. Melihat sepatut itu buat ramai makcik-makcik dan pakcik-pakcik jatuh hati pada Bibot dan memberi dia makan, roti hitam yang mereka bawa sebagai bekal yang di sapu jam dengan cepat dan padat. Tidak seharipun sewaktu dia bekerja di tapak lombong arang itu Bibot pulang dengan kelaparan. Tidak sekali pun.”

“Satu hari, tatkala pulang dari bekerja, Bibot melintas sebuah studio tarian. Hairan, dia melekapkan mukanya ke cermin studio itu dan selama empat jam berterusan, dan tanpa berkelip-kelip Bibot melihat pelbagai jenis tarian dibikin di situ: anak-anak comel berpusing-pusing seperti angsa mabuk membikin ballet, orang tua kutuk tak sedar diri cuba menari tango, pasangan kaya yang masing-masing berselingkuh secara rahsia menari ballroom, waltz oleh dua orang gei yang mabuk, polka oleh pakcik atas kerusi roda dan pelbagai lagi.”

“Dan Bibot waktu itu tahu apa yang dia mahu buat. Inilah hidupnya.”

“Aku mahu jadi penari, kata Bibot pada dirinya sendiri. Aku akan jadi Beruang Tedi Bersepatu Merah Jambu yang pandai menari.”

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized