>Bunny, tiba-tiba…

Posted on Jun 14, 2009

2


>Kata Marco Polo, orang yang ke laut adalah orang yang putus asa.

Betul sangat, kerana Bunny ke laut untuk membunuh diri. Tapi waktu ini dia belum tahu lagi caranya. Waktu ini, dia memandu keretanya, sebelah siku di luar, jari menyepit rokok yang sudah hampir padam. Sambil itu, dia nyanyikan lagu, yang padanya, lagu paling sedih di dunia.

‘Kau pergi’ oleh kumpulan Search. Lagu yang amat sesuai dimainkan sebelum membunuh diri.

Dalam kepalanya pelbagai cara untuk membunuh diri.

Seorang konosier membunuh diri Jepun, Yamataka, Takakita, Yashayasha, entahlah, pernah menulis, cara terbaik untuk membunuh diri adalah dengan menggunakan pisau yang tersangat tajam dan mengelar leher dengan sekali libas. Kemudian melangkah masuk dalam tab penuh air dan merendam diri sampai ke leher

Walaupun Takataka Takakita, Yashayasha,tak membunuh diri dengan cara itu – dia mati kerana terpijak kulit pisang lalu melayang di depan lori dari arah bertentangan – dia tulis dengan yakin bahawa, dengan cara itu, kita hanya akan rasa seperti mengantuk, lalu tertidur dan terus mati…zzz. zzz.

Tapi Bunny rasa, ini bukan untuk dia.

Bukankah Cortazar pernah menulis, Kalau aku terpaksa hidup tanpa kamu, biarlah hidup ini keras dan berdarah?

Jadi mati Bunny harus keras dan berdarah.

Harus.

Mungkin karang, fikir Bunny, karang keras, dan dihempuk dengannya pasti berdarah yang amat.

Ataupun jetski. Dilanggar jetski, adalah satu kemungkinan yang ada juga Bunny fikirkan.

Bagaimana kalau digigit jerung? Ada tak jerung di perairan nanti?

Amy masih menyanyi lagi.

‘Pulanglah! Oh Pulanglah sayang!’

Bunny masih berfikir.

Posted in: Uncategorized