>Robot berbaju Ropol-ropol

Posted on Jun 25, 2009

6


>Robot itu bangun pagi dengan rasa fabulous! Dengan rokok di bibir, yang tak dinyalakan (aku mesti berhenti hari ini!) dia pilih baju yang paling ropol-ropol dan warna paling pastel.

Di depan cermin dia teliti susuknya. Wah!

Kemudian dia keluar, shuffle sambil berjalan, sampai ke perhentian bas.

[mood: ceria]

Datang bas, dia lompat-lompat satu-satu anak tangga ktung-ktung ktung. Masukkan syiling, dan melangkah ke tempat belakang sekali.

Masuk seorang tua. Masuk seorang muda. Masuk seorang perempuan. Masuk seorang lelaki. Robot itu duduk, menyilang kaki, kerana bas tak penuh.

Sampai tempat kerja, seekor burung kedidi plastik, terbang lalu, dan hinggap di atas antenanya.

Mereka berdua bersiul. Macam tak ada care dalam dunia.

Sampai di tempat kerja, robot itu pakai tali leher, dan pakai tag nama. Kemudian dia duduk di atas kerus biasanya dan mula menaip. Robot itu menaip dan menaip, hinggalah tiba waktu rehat. Kemudian dia ke kafeteria pejabat, lalu beli nasi lemak, buah bidara dan air selasih.

Dia duduk di meja hujung, dan perhati orang lalu lalang, sambil makan perlahan-lahan.

Lima minit kemudian, datang seorang perempuan seksi.

Hye, perempuan tu kata, dan duduk sambil berkongsi nasi lemak dengan robot.

Lima minit kemudian, datang lagi seorang perempuan, yang pemalu tapi ayu.

Hye, kata perempuan itu, sambil berkongsi buah bidara dengan robot.

Sebelum pulang ke kubikel masing-masing, perempuan seksi dan perempuan pemalu buka tas tangan dan berikan robot kad, perempuan seksi kata, call me, honey, dan perempuan pemalu cuma tersipu-sipu.

Robot itu senyum dan angguk-angguk kepala. Kemudian dia melangkah ke kubikelnya.

Sebelum mulakan kerja robot ropol layan lagu Wani Ardy dalam ipodnya.

Sedang dia tekun menyambung kerja, guruh berbunyi.

Guruh berbunyi, bukan di luar, tapi di dalam hatinya.

[mood: suram]

Hujan mula menitis. Di dalam hatinya. Robot itu sudah mula rasa murung. Kerja yang tadi laju, sudah mula perlahan.

Dunia bergerak dalam slo-mo.

Hujan jadi ribut petir.

Pukul lima setengah semboyan berbunyi menandakan waktu kerja sudah tamat.

Robot itu keluar pejabat, berjalan perlahan, berjalan di celah-celah orang ramai.

Tiba-tiba…

[bersambung]

Posted in: Uncategorized