>Ahmad Bertemu Awan Paling Sayu Di Dunia

Posted on Jun 28, 2009

2


>Pagi itu Ahmad bangun dengan hujan menitis di kepalanya. Ahmad bangun gosok gigi, mandi dan memakai baju paling ceria, tapi hujan itu terus menerus menitik di atas kepalanya. Mulanya Ahmad tak kisah sangat, kerana hujan itu hanya rintik-rintik halus, tapi sebaik saja dia keluar dari rumah untuk membeli gula di kedai runcit Pak Chong, hujan rintik itu bertukar menjadi lebat.

Dan baju ceria Ahmad menjadi hambar dengan kuyup. Warnanya menjadi pudar dan muram.

Lalu Ahmad mendongak ke atas dan dia melihat setompok awan yang paling sayu di dunia terapung betul-betul di atas kepalanya. Awan itulah yang tak henti-henti menurunkan hujan ke kepala Ahmad.

Lalu Ahmad pun bertanya, ‘Hei awan, kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku?’

Awan itu menjawab, nadanya hiba, ‘Kerana aku awan paling sayu di dunia.’

Jawab Ahmad, ‘Itu aku faham. Tapi kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku? Kenapa tak atas kepala Pak Chong?’

Awan itu menjawab, nadanya masih hiba, ‘Ahmad, baiklah kau duduk, kerana ceritaku ini amat panjang.’

Ahmad melangkah ke kedai kopi berdekatan dan memesan segelas kopi. Kemudian, dia mendongak, dan berkata, ‘Baiklah awan, kenapa kau turunkan hujan ke atas kepalaku?’

Awan paling sayu di dunia itu diam sebentar. Mungkin dia sedang mengolah ceritanya. Ahmad hirup perlahan-lahan kopi panasnya yang kini jadi sejuk oleh dek hujan yang memercik dari kepalanya. Kopi itu terasa seperti dicampur dengan air mata. Situasi ini buat Ahmad sendiri rasa hiba.

Sebentar kemudian awan paling sayu di dunia itu pun bermula:

Pada suatu hari, sedang aku berapungan di angkasa, sendiri tapi tak sepi, ceria bermain dengan ciak-ciak yang terbang tinggi, aku ternampak kelompok manusia sedang berkumpul di depan sebuah pentas. Waktu itu aku bukan begini. Waktu itu aku awan yang hedonis, yang sentiasa dahagakan hiburan. Yang sentiasa hauskan tawa-ria dan pesta-pora. Lalu aku segera mengapung diriku ke atas pentas itu.

Di atas pentas itu ada seorang perempuan yang sedang bermain gitar. Rambutnya lurus seperti sudah direbonding, hidungnya mancung, dan suaranya sangat merdu. Aku tak tahu namanya, kerana sewaktu aku sampai dia sedang asyik mendendangkan lagunya.

Lagunya pun aku tak tahu, tapi entah kenapa, lagunya itu menghambat segala keceriaan yang aku bawa tadi. Ya, lagunya itu buat bibit-bibit rasa hiba mula tumbuh dalam hatiku.

[Bersambung]

Posted in: Uncategorized