>Gadis yang Hidup di Dalam Kotak Mancis

Posted on Julai 6, 2009

9


>Agak lewat semalam, di depan restoren mamak di simpang tiga keluar ke Kuala Selangor aku terserempak lagi dengan gadis itu dengan seorang lelaki. Aku tak pernah tahu nama dia, tapi kata orang dia hidup di dalam kotak mancis.

Aku sangka itu satu metafora yang rumit, entah mungkin sebenarnya mereka mahu kata yang dia dikurung suami atau keluarga dan tak dibenarkan keluar atau apa sajalah, tapi sebenarnya tekaan aku itu meleset.

Kerana dia benar-benar hidup di dalam sebuah kotak mancis.

Di depan mata aku sendiri, aku nampak. Lelaki di sebelahnya membuka kotak mancis, membuang mancis-mancis di dalamnya, dan gadis itu, entah macam mana, melangkah masuk ke dalam kotak itu. Lelaki dengan kotak mancis itu nampak aku memandangnya, lalu menggamit aku ke arahnya.

Lalu aku melangkah ke arah lelaki itu.

Lebih mengejutkan dari hakikat yang ada gadis dalam kotak mancis yang dipegangnya, ialah betapa lelaki itu seperti begitu terdesak untuk memberikan aku kotak mancisnya itu.

Ok, mulanya dia mahu menjual kotak mancis itu.

Langsung, bila aku buat tak layan, dia serahkan kotak mancis itu pada aku dengan sampul tebal penuh berisi wang. Katanya dia sudah tak tahan.

Aku tak tahu apa yang dia tak tahan.

Entah kenapa aku ambil kotak itu, dan aku ambil sampul itu. Sampul aku letakkan ke dalam beg, dan kotak itu aku pegang.

Aku syak ini satu penipuan. Mungkin bila aku buka sampul nanti, yang ada hanya daun-daun kering dan di wang di dalam dompet aku pula hilang.

Aku tak tahu, kerana sampai sekarang aku masih belum periksa.

Aku lebih tertarik pada kotak itu, yang di dalamnya ada seorang gadis. Kononnya.

[bersambung]

Posted in: Uncategorized