>Mimi Morticia dalam Kosmo

Posted on Oktober 13, 2009

4


>

Menulis dari hati

Dia merupakan seorang pelajar perubatan yang sinonim dengan aliran sains. Namun, itu tidak menghalang Hamiza Abd Halim untuk menjadi seorang penulis puisi yang berjaya.


MINAT mendorong Hamiza aktif menulis puisi sejak lima tahun lalu.



KEINDAHAN sesebuah puisi bergantung kepada bahasa dan penceritaan yang puitis, selain mampu membuat pembaca hanyut menghayati kisah yang cuba disampaikan.

Bermain dengan kata-kata dan mengolah perkataan menjadi rangkap yang indah bukanlah mudah. Hanya mereka yang berimaginasi tinggi dan mahir menggunakan bahasa mampu melakukannya.

Merupakan pelajar jurusan perubatan di Universiti Trisakti, Jakarta, Indonesia, Hamiza Abd Halim, 24, mempunyai minat mendalam terhadap dunia kesusasteraan. Minat itu mendorongnya untuk aktif menulis puisi sejak lima tahun lalu.

Sajak-sajak Hamiza pernah dibukukan sebanyak dua kali menerusi kolaborasinya dengan beberapa penulis lain. Namun baru-baru ini, sebuah buku poket bertajuk Tangerin dan Nikotin telah diterbitkan dan mengandungi puisi-puisi yang dihasilkannya.

Buku puisi poket tersebut dijual pada harga RM15. Ia mengandungi puisi-puisi berkonsepkan puisi pop yang lebih santai dan sesuai untuk semua golongan masyarakat.

GenK: Bagaimana kerjaya dan minat anda dalam penulisan puisi bermula, sedangkan anda merupakan seorang pelajar perubatan?

HAMIZA: Ibu saya merupakan seorang guru Bahasa Melayu dan sejak kecil, saya banyak membaca bahan berunsur sastera. Sejak lima tahun lalu, saya mula menyimpan setiap karya tulisan saya dan kini ia telah dibukukan untuk tatapan ramai. Bagi saya, tidak ada salahnya untuk seseorang itu berkarya walaupun dia belajar dalam aliran sains. Lagipun, tulisan dan bahasa puitis telah serasi dengan diri saya sejak dahulu.

Sebagai seorang penulis puisi, apakah cabaran yang anda hadapi?

Penulis puisi menulis dari hati dan menyampaikan mesej melalui bahasa kiasan. Kadangkala, apa yang cuba disampaikan disalah erti kerana setiap baris-baris puisi membawa makna yang berbeza. Apabila disalah erti, karya tersebut akan menimbulkan kontroversi. Selain itu, sebagai penulis puisi, kita perlu bersedia menerima pelbagai jenis kritikan sama ada yang baik mahupun negatif.


MENUNJUKKAN buku poket bertajuk Tangerin dan Nikotin yang dihasilkannya.



Anda gemar menulis puisi tema yang bagaimana, dan apakah identiti dalam penulisan anda?

Saya gemar menulis puisi bertemakan percintaan kerana bagi saya, topik itu sungguh luas. Ada pelbagai jenis cinta seperti cinta gelap, obses, benci dan banyak lagi. Saya suka bereksperimentasi dengan bahasa dan ayat. Saya tidak mengehadkan karya saya untuk menjadi terlalu baku. Oleh itu, saya menggunakan bahasa slanga dan saya turut menggunakan bahasa Inggeris dalam karya saya.

Tidakkah tindakan anda itu akan merosakkan bahasa Melayu?

Bukan saya sengaja mahu melanggar tata bahasa dengan penggunaan bahasa slanga atau bahasa Inggeris. Bagi saya, pendekatan yang digunakan ini adalah untuk menyampaikan sesuatu dengan cara yang lebih santai. Saya mahu mendekati pembaca yang lebih urban dan dengan itu, saya perlu melakukan beberapa perubahan.

Anda menjadi penulis dan berjaya menerbitkan sebuah buku pada usia yang muda. Apa nasihat anda kepada golongan belia yang ingin menceburi bidang ini?

Untuk menjadi penulis puisi, kita perlu kreatif dan berimaginasi tinggi, selain mempunyai pengetahuan dalam selok-belok bahasa. Jangan takut untuk mencuba dan perlu berani bereksperimen dengan ayat-ayat baru. Sesebuah puisi tidak semestinya deretan kata-kata yang panjang lebar. Tidak semestinya karya yang panjang difahami dan sampai mesejnya. Biarlah karya itu pendek, padat dan menarik untuk dibaca.

Posted in: Uncategorized