>Sepuluh hari

Posted on Januari 6, 2010

1


>Panas. Kipas berdengung, menggegar lantai. Kipas di siling sudah mati. Di luar masih tak hujan. Aku buka pintu, dan kucing-kucing yang tadi berbaring longlai, berlari-lari dan mengiau di depan pintu. Mengharap sesuatu. Mengharap bulan berperisa keju untuk jatuh ke riba mungkin.

Hari ini hari ke sepuluh.

Sudah dua sms aku hantar. Kedua-duanya ditelan abyss telekomunikasi. Aku bayangkan ada vakum yang dipasang penuh, menyerap tiap satu kata digital yang aku hantar. Ini bukan paranoid. Ini cuma hari ke sepuluh.

Televisyen, drama polis. Buat baik berpada-pada wahai orang TV, kerana di sana dosa dan pahala hitam putih. Tapi mereka tak mendengar, lalu terus melangkah ke arah takdir sebelum iklan.

Ini hari ke sepuluh. Tak ada bezanya dari hari ke sembilan. Atau hari kedua.

Aku suka hari keempat, walau di hari itu juga segalannya sama.

Di dinding aku lekatkan sepuluh gambar. Satu untuk setiap hari. Gambar itu menjadi naratif pasif, pegun, permisif.

Ia memungkinkan aku mencipta cerita di antara hari pertama dan hari ke sepuluh.

Dalam mitos primitif Kaum Z’ul Tan’k’l’kl, di hari ke sepuluh, syaitan dalam bentuk seekor musang berbulu hitam berkilat turun ke bumi dan memilih seorang dara kampung untuk dijadikan isteri malam itu dan korban keesokannya harinya. Dalam mitos kaum ini tak ada wira datang menyelamat sang dara. Tak ada hentian pada kitaran musang-dara-kematian. Tak ada harapan palsu yang satu hari nanti… satu hari nanti…

Tengah hari tadi aku menulis satu lagi cerita. Cerita yang berbunyi begini:

Posted in: Uncategorized