>Separuh Jantungku adalah Miliknya

Posted on Januari 15, 2010

7


>Terik. Dari zink stesyen bas. Mataku tersilau. Kosong berhablur, dunia ini tiada penghuni, kecuali seorang penjual tiket. Dia tidur di atas lengannya, dibuai mimpi-mimpi stroberi. Aku langkah ke mesin Coke. Aku masukkan syiling. Segalanya berlaku dalam gerak perlahan, termasuklah dentingnya tin dalam ruang kutipan.

Waktu itulah dia tegur aku, antara dentuman jatuh tin Coke, dan mimpi stroberi penjual tiket. Dia perempuan. Berkaca mata ranggi. Rambut ikal diikat, dan bibir merah yang minta dicium berkali-kali.

Aku ambil tin minuman yang jatuh. Encik, katanya, dan aku menoleh ke arahnya. Antara aku dan dia, walaupun sekitar 1 meter, aku rasa seperti tiada jarak.

Katanya, saya minta maaf, tapi separuh jantung Encik milik saya. Dia keluarkan sehelai kertas, lengkap dengan cap mohor rasmi dan kata-kata penuh istiadat birokrasi, yang menyatakan bahawa, ya, separuh jantung aku adalah milik dia.

Dan dia keluarkan sebilah pisau dari beg LVnya, lalu dia potong dada aku dan ambil separuh jantung aku.

Kemudian dia pergi.

Posted in: Uncategorized