>Takzirah Santa Valentina

Posted on Februari 16, 2010

2


>Di hari valentin, tergolek anjing, di atas pevmen, lidahnya merasa-rasa mencari gigi yang patah. Tiada, gigi patah, tapi rasa karat darah gusinya buat dia loya.

Berbaring, dia memandang ke langit, cuba mengira bintang.

Hujan turun rintik-rintik, jatuh seperti bom-bom atom yang dibawa B limapuluh dua minuskul, pecah dan memercik di kaca matanya. Dia hanya boleh fikirkan tentang X, yang semakin jauh dibawa teksi sebentar tadi.

Malam gelap, kerana itulah fitrah malam, tapi suasana tak sunyi, di kelilingnya, orang ramai lalu lalang. Tak siapa pedulikannya kerana dia halimunan.

Orang yang sendiri di hari Valentin, selalunya halimunan, seperti lubuk puaka yang dijauhi orang.

Dia cuba bangun, tapi tubuhnya sudah di luar kawalan.

Dan perlahan-lahan dia mencair dan mengalir bersama hujan, mengalir masuk ke dalam longkang, ke dalam pembetung.

Posted in: Uncategorized