>Lapan Belas Bintang yang Harus Aku Cari

Posted on Februari 19, 2010

10


>Sebelum tidur, Fazleena, anak Lebai Hisham, suka mengira bintang. Tidur mengiring, melihat dari selit tingkap yang sedikit terbuka, dan diterangi hanya cahaya bulan, dia menghitung cahaya-cahaya kecil yang mungkin hari ini sudah mati dalam perjalanan tahun-tahun cahaya mereka. Selepas mengira, biasanya Fazleena akan lelap sendiri, dan mimpikan nyiur gading, dan gajah-gajah comel, sang kancil dan advencernya, monyet-monyet dari langit ketujuh, dan kendi masam-masam manis dari sarkas Rusia. Hidup Fazleena di tahun ketujuh kelahirannya, tenang, aman dan gembira.

Hinggalah satu hari.

Lapan belas bintang Fazleena, anak Lebai Hisham, kira. Lapan belas. Tidak kurang-tidak lebih. Tapi sehari lepas peristiwa kawan baiknya, Bob, jatuh ke dalam sungai Kampung Sirna dan lemas, Fazleena, anak Lebai Hisham mengira dan mengira, mengira dan mengira, dan jumlah yang diperolehinya tujuh belas.

Tujuh belas.

Dunia Fazleena, anak Lebai Hisham tergoncang. Gegarnya sampai ke perdu hati, langsung membakar darah, dan menikam sukmanya. Dunia sudah tiada horizon. Langit segalanya hitam. Matahari sudah mati. Dan bintang hanya tujuh belas.

Fazleena, anak Lebai Hisham rasa tersepit. Sukar bernafas. Segala mergastua pebangkai terbang mengelilingnya, menanti saja dia diangkat ke langit (kerana itu konsepsi mati baginya). Genting. Fazleena, anak Lebai Hisham kini di presipis. Bintang di langit, satu-demi satu lenyap. Kini tinggal enam belas. Kini tinggal lima belas. Kini tinggal empat belas. Kini tinggal…

Lalu melompat lalu seekor cengkerik. Berkumis dan berkaca mata hitam. Topi hitam, dan kasut sukan. Ini cengkerik paling ranggi Fazleena, anak Lebai Hisham pernah lihat. Dan dunia pegun seketika.

“Assalamualaikum, Fazleena, anak Lebai Hisham,” Dia berkata, cengkerik itu.
“Walaikumsalam, cengkerik.”
“Kamu tahu kenapa aku di sini?”
Fazleena, anak Lebai Hisham menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Itu,” jarinya dituding ke langit. Ke arah bintang yang kini empat belas.
Mata Fazleena, anak Lebai Hisham menuruti jari cengkerik itu.
“Kamu tahu apa yang kamu perlu buat?”
Fazleena, anak Lebai Hisham menganggukkan kepalanya.

Fazleena, anak Lebai Hisham tahu apa yang harus dia lakukan. Fazleena, anak Lebai Hisham harus mencari setiap butir bintang yang hilang itu, dan menggantikannya kembali ke langit malam.

Lalu dunia mula berputar kembali, lebih dingin, lebih malam, dan lebih mengerikan dari sebentar tadi.

[Akan datang: Fazleena, anak Lebai Hisham, bertemu Bob, yang pura-pura mati dan sebenarnya menjadi kuda laut di sungai Kampung Sirna]

Posted in: Uncategorized