>Balkoni

Posted on Mac 16, 2011

7


>

Nafasnya masih berbau alkohol waktu aku cium bibirnya. Bohong-bohongnya masih tergantung di langit bersama bintang-bintang yang makin malap. Dari balkoni ini, kami lihat neon Kuala Lumpur berlawan-lawan untuk menyilaukan mata.

Sudah seminggu apartmen ini tak ada elektrik. Dan sudah seminggu dia berkurung di dalam rumah, dan sudah seminggu (katanya) dia hanya makan pop-tarts yang diselitkan ke bawah pintu oleh kawan-kawannya.


Itu saja, aku tanya.


Itu saja, dia kata.


So, dia kata dia mahu pindah ke London, atau Paris, atau Prague, atau mana-mana tempat yang aku tak mampu pergi, dan aku kata jangan, dan dia kata kenapa, dan aku tak cakap apa-apa sebab aku tak tahu apa lagi nak cakap.


Kami tak pernah cakap tentang cinta kerana itu fantasi orang dulu-dulu yang mahukan rumah teres dua tingkat dengan laman yang penuh rumput hijau. Corner lot, dan bunyi anak-anak bermain di kejauhan.


Malam ini kami akan tidur dalam bilik yang tak berlampu, dan pagi-pagi sebelum waktu subuh aku akan bangun dan beri kucingnya makan dan fikirkan tentang moraliti cerita ini. Bunyi azan mungkin boleh menyelamatkan segalanya.


Mungkin.

Posted in: Uncategorized