>Natasya Masih Bernafas

Posted on Januari 6, 2010

3


>Oh tunggu, kata Natasya pada pegawai polis yang memeluk erat badannya itu. Pelukan bebas seksualiti kerana niatnya cuma mahu menurunkan mayat yang tergantung dari kipas siling. Oh tunggu, kata Natasya, dan pelukan sang polis terlepas, lalu sekali lagi Natasya rasa tali yang bersimpul di lehernya menjerut kemas, memasung nafasnya. Polis yang terpinga itu segera meloncat ke atas kerusi, dan memeluknya sekali lagi, menyokong tubuhnya dan memberinya nyawa.

Natasya mahu senyum, tapi setiap atomnya dirasa pegun.

Sepuluh minit kemudian, selepas dia diturunkan, dan sedang duduk selesa di atas kerusi tanpa sebarang cacat cela, Natasya berkata kepada polis yang menyelamatkannya itu. Saya nampak awak, dalam bayangan saya. Polis itu, namanya Nordin – bukan nama yang selesa menjadi wira – tersenyum, tidak berkata apa, kerana itu fitrahnya. Nordin tak pernah rasa selesa bila bersama dengan wanita cantik. Lalu dia tersenyum tawar pada Natasya yang sedang bercerita.

Dalam banyangan saya, sambung Natasya, saya nampak awak, En Nordin. Dan awak sedang menunggang seekor Unikorn. Natasya tersenyum, senyuman yang Nordon rasa terlalu manis untuk orang seperti dia.

Pegawai paramedik yang masih membelek-belek leher Natasya – pedulikan namanya, wataknya hanya untuk beberapa baris saja lagi – berkata, yang itu, bayangan yang sungguh pelik.

Memang pelik, kata Natasya, kerana bukan itu yang terjadi. Saya cuma mahu menarik perhatian En Nordin. Kenapa, kata si paramedik. Kerana saya rasa saya sudah jatuh cinta padanya.

Nordin tahu waktu itu, dalam seratus mukasurat lagi, semua ini tidak akan berakhir dengan baik.

Posted in: Uncategorized